BREAKING NEWS

Monday, 21 August 2017

Projek ECRL dengan China terus difitnah

NIBONG TEBAL 20 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, pembangkang terus melemparkan tohmahan kononnya kerajaan menjual negara berikutan pelaburan China dalam Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata, keseluruhan pakej projek mega berkenaan bukan dimiliki pihak luar kerana kerajaan menetapkan syarat supaya 30 peratus tender mesti diberikan kepada kontraktor bumiputera.


“Mereka (pembangkang) pa­nik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya membawa masuk ba­nyak pelaburan baharu ke dalam negara lalu membuat pelbagai tuduhan.

“Dahulu, sewaktu kita me­ngamalkan Dasar Pandang ke Timur, tidak pula dikatakan jual negara kepada Jepun malah Menara Berkembar Petronas (KLCC), satu menara dibina oleh syarikat Jepun, satu lagi oleh kontraktor dari Korea Selatan, tidak pula dikatakan jual kedaulatan negara pada masa itu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Nibong Tebal di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal.

Justeru itu, Ismail Sabri berkata, UMNO perlu lebih agresif menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang terutama dalam media sosial.

“Kita tidak boleh biarkan lama sebab kalau kita biar tanpa menjawab, akhirnya fitnah akan dipercayai. Sebab itu, saya minta Pemuda dan Puteri UMNO yang merupakan orang yang lebih mahir tentang media sosial supaya gunakannya untuk memberikan penjelasan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, projek ECRL itu turut memanfaatkan bidang pendidikan negara apabila 750 pelatih GiatMara dipilih menjalani latihan mengenai pemasaran rel kereta api projek itu.

“Selain itu, UniKL juga akan menubuhkan sebuah fakulti baharu untuk menawarkan pe­ngajian kejuruteraan rel, jadi ini akan melatih tenaga kerja mahir dalam kalangan anak muda kita,” katanya.– BERNAMA

 
Copyright © 2014 PenangKini.