BREAKING NEWS

Tuesday, 29 August 2017

Projek RoL, Kolam Biru ikon baharu tarikan pelancongan ke Kuala Lumpur

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek River Of Life (RoL) dan projek Kolam Biru bakal menjadi ikon baharu kepada bandar raya Kuala Lumpur dalam memeriahkan lagi industri pelancongan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, su­ngai merupakan sebahagian daripada warisan serta sejarah negara dan sudah menjadi kewajipan kepada pemimpin untuk menjaga­nya demi masyarakat kini serta generasi akan datang.

“Saya yakin di sinilah akan menjadi satu lagi produk pelancongan di mana saya dapat membayangkan akan ramai pelancong asing bersiar-siar pada waktu malam.

“Sinilah kita akan jadikannya sebagai suatu daya tarikan ikon untuk Kuala Lumpur. Kita dapat lihat air sungai yang coklat pada siang harinya bertukar biru pada waktu malam,” katanya ketika berucap melancarkan projek RoL atau Sungai Nadi Kehidupan dan projek Blue Pool di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur malam ini.

RoL yang mula menjalani pro­ses pembinaan pada tahun 2011 adalah projek permulaan Greater Kuala Lumpur di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bertujuan mentransformasikan Sungai Klang dan Sungai Gombak menjadi kawasan pinggiran su­ngai berdaya maju serta memiliki nilai ekonomi tinggi.

Kerja-kerja pembersihan sungai yang menjadi skop utama projek tersebut menelan belanja seba­nyak RM3.4 bilion dan meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Su­ngai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong sepanjang 110 kilometer.

Projek Kolam Biru pula merupakan pertunjukan air pancut diiringi pantulan cahaya lampu berwarna-warni mengikut irama muzik adalah ikon baharu kepada Kuala Lumpur hasil cetusan idea Perdana Menteri yang mahu mengoptimumkan potensi kawasan tersebut sebagai pengge­rak ekonomi negara dan menarik lebih ramai pelancong.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Hadir sama, Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Pengarah Eksekutif Eko River Construction, Tan Sri Lim Kang Hoo.

Perdana Menteri berkata, imej Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang sibuk dan sesak semakin terhakis saban hari ekoran daripada kejayaan kerajaan memperkasakan sistem pe­ngangkutan awam.

Jelas beliau, perkara itu telah meningkatkan indeks ‘keselesaan’ Kuala Lumpur yang kini setanding dengan bandar raya utama dunia yang lain.






 
Copyright © 2014 PenangKini.