BREAKING NEWS

Tuesday, 29 August 2017

PRU-14: Masih ada ruang UMNO tingkat kesiapsiagaan - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masih ada ruang yang boleh ditingkatkan dalam persiapan jentera UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun secara keseluruhannya kini berada pada tahap baik.


Presiden UMNO itu berkata, berdasarkan penilaian sepanjang persidangan UMNO bahagian-bahagian yang bermula awal Julai lalu, beliau berpuas hati dengan keadaan parti itu pada masa ini.



Katanya, beliau juga mendapat pengesahan daripada Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  yang hadir di serata negara bahawa ahli-ahli parti berada dalam keadaan lebih bersemangat pada tahun ini.


“Namun saya masih anggap ada ruang untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan apa yang patut dalam konteks untuk memastikan jentera kita yang akan menjamin kejayaan cemerlang pada PRU-14,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.


Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepemimpinan UMNO Bahagian Pekan.


Persidangan itu adalah penutup tirai persidangan perwakilan UMNO bahagian-bahagian yang bermula sejak 7 Julai lalu. - UTUSAN ONLINE

 
Copyright © 2014 PenangKini.