BREAKING NEWS

Thursday, 24 August 2017

PTPTN berjaya kutip 60% bayaran balik pinjaman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM2.43 bilion iaitu lebih 60% bayaran balik pinjaman daripada peminjam PTPTN sehingga Jun tahun ini, kata pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata ini berikutan usaha PTPTN menggunakan pelbagai kaedah termasuk mengadakan kempen dan pembayaran secara dalam talian bagi mengutip balik pinjaman daripada peminjam.
Menurut Shamsul Anuar, pihaknya juga menyasarkan RM4 bilion bagi kutipan balik pinjaman PTPTN tahun ini.

“Berdasarkan prestasi itu dan peningkatan kutipan, kita yakin dapat mencapai sasaran tersebut kerana pada tahun lalu kita mencapai kutipan RM3.4 bilion sedangkan sasaran kita pada tahun lalu ialah RM2 bilion.

“Kita masih memberi peluang kepada peminjam untuk membayar balik sehingga 31 Disember ini dengan menawarkan potongan 15% kepada peminjam yang membuat bayaran penuh dan potongan 10% melalui pembayaran balik secara potongan gaji,” katanya.

Shamsul Anuar berkata peminjam yang mempunyai masalah boleh datang ke pejabat PTPTN untuk berunding mengenai bayaran balik pinjaman mereka.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 857,009 waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) ditunaikan pelajar membabitkan RM1.26 bilion sehingga 31 Julai lepas.
Bagi kemasukan sesi September 2017/2018, seramai 20,156 pelajar ditawarkan WPP PTPTN membabitkan peruntukan RM30.23 juta dan di Perak sahaja, beliau berkata 2,119 pelajar ditawarkan WPP membabitkan RM3.179 juta.

“Seramai 273 adalah pelajar dari Parlimen Lenggong, Gerik, Kuala Kangsar dan Padang Rengas membabitkan peruntukan RM409,500.
“Setiap pelajar menerima WPP sebanyak RM1,500 bagi meringankan beban ibu bapa untuk membuat persediaan serta membolehkan anak-anak mereka masuk ke universiti dan waran WPP itu boleh ditunaikan mulai 22 Ogos hingga 22 Oktober tahun ini di kaunter cawangan CIMB Bank sahaja,” katanya.

Shamsul Anuar berkata PTPTN turut memberikan pinjaman kepada mereka yang layak dengan syarat mereka adalah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Kita mahu memastikan mereka yang layak mendapat pinjaman ini selain memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam permohonan PTPTN,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.