BREAKING NEWS

Sunday, 6 August 2017

Pulau Pinang disaran gubal Enakmen Tanah Rizab Melayu

Kerajaan negeri Pulau Pinang disaran mewujudkan Enakmen Tanah Rizab Melayu bagi menjamin hak dan masa depan orang Melayu.

Bekas ketua pengarah Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof berkata Pulau Pinang merupakan antara negeri tidak memiliki tanah rizab Melayu, berdasarkan sejarah negeri-negeri selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura).
Beliau berkata Enakmen Tanah Rizab membolehkan kesemua tanah milik orang Melayu diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.

“Kemungkinan orang Melayu akan marah sebab apabila tanah dirizabkan kepada orang Melayu, maka nilainya akan menjadi rendah di pasaran. Namun, masa depan anak, cucu cicit orang Melayu di Pulau Pinang akan lebih terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila menjawab soalan peserta sesi penyampaian dan dialog Mesyuarat Wasiat Yang Tersirat pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di sini hari ini.

Nik Mohd menjelaskan bahawa tanah rizab yang masih ada boleh wakaf kepada Jabatan Agama Islam Negeri atau wakaf korporat kerana ia boleh dibangunkan dalam tempoh maksimum 99 tahun sebelum dipajak semula kepada waris asal pemilik tanah.

Beliau berkata jumlah tanah rizab Melayu pada tahun 1947 kira-kira 2.42 juta hektar manakala pada tahun 2008 ia meningkat kepada 4.2 juta hektar.
“Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri perlu membuat kajian mengenai keluasan tanah rizab Melayu yang terkini,” katanya.

Namun begitu, Nik Mohd berkata kajian mendapati bilangan tanah rizab Melayu semakin berkurangan sejak kebelakangan ini berikutan ia telah diambil atau dibatalkan kerajaan negeri untuk tujuan pembangunan tetapi ia tidak digantikan semula.
“Kerajaan negeri yang mengambil dan membeli tanah rizab Melayu perlu menggantikan tanah dengan nilai yang sama untuk melindungi hak golongan Melayu.

 
Copyright © 2014 PenangKini.