BREAKING NEWS

Thursday, 24 August 2017

RCI akan makan diri pemimpin PAS dulu dan kini, kata bekas ahli

Sebarang keputusan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai insiden Kampung Memali sebagaimana digesa PAS akan hanya memakan diri parti itu termasuk bekas pemimpin yang kini menyertai Amanah, kata seorang aktivis yang pernah mengurus dana lebih sejuta ringgit membantu mangsa tragedi 1985 itu.
Zainon Ismail yang pernah bertanggungjawab menguruskan Tabung Memali memberi amaran PAS bakal berdepan masalah kerana sebarang siasatan akan turut menyentuh isu melibatkan wang tabung itu.
Tetapi Zainon yang terkenal dengan panggilan C.N. Afghani kerana pernah menyertai mujahidin Afghanistan melawan Soviet Union satu ketika dulu, berkata beliau pernah membuat laporan polis berkenaan penyelewengan dana Tabung Memali pada 2000, iaitu 15 tahun selepas peristiwa berdarah yang meragut nyawa 14 penduduk kampung dan 4 anggota polis.
“Laporan polis yang saya buat khusus memetik nama individu,” katanya kepada FMT. “Tabung Memali ini saya yang uruskan, sebab itu saya tahu maklumat ini secara terperinci.
“Saya tahu sebab yang merekodkan setiap derma dari orang awam,” kata Zainon yang dipecat PAS pada 2001.
Beliau mendakwa bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, yang kini mengetuai Amanah, sedia maklum mengenai dana tersebut.
“Dia janji untuk selesaikan kes ini. Dia sudah tahu ada wang diseleweng dalam Tabung Memali.”
Semalam, Mohamad atau Mat Sabu berkata dana daripada Tabung Memali sudah pun diagihkan kepada mangsa, sambil berkata PAS Kedah dapat menjawab butiran lanjut mengenainya.
Tabung Memali ditubuhkan pada 1986 bagi membantu keluarga mangsa yang kebanyakannya ahli PAS, termasuk untuk membiayai proses menyaman kerajaan.
Sumbangan dikumpul melalui 4 pihak iaitu akhbar rasmi PAS Harakah, Pejabat PAS Pusat, Pejabat Perhubungan PAS Kedah dan Madrasah Islahiah Diniah di Kampung Memali.
‘Mana pergi RM65,000?’
FMT difahamkan tabung tersebut ditutup PAS pada 2002.
Empat tahun lalu, Zainon mempersoalkan ke mana pergi RM65,000 yang masih wujud dalam tabung itu ketika ia ditamatkan PAS.

Beliau mendakwa pernah menjelaskan penyelewengan dana itu kepada Mat Sabu pada 1999, tetapi tiada tindakan diambil.
“Setelah saya buat laporan polis pada tahun 2000 terhadap individu berkenaan, Mat Sabu pula kuat menentang saya bahkan burukkan saya dalam ceramahnya di seluruh negara,” katanya kepada FMT.
Tragedi Memali kembali dibincangkan selepas soalan mengenainya dibangkitkan pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku pada November 1985.
Pergaduhan tercetus selepas penduduk kampung mempertahankan guru agama Ibrahim Mahmud daripada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat.
PAS ketika itu menolak tuduhan terhadap Ibrahim, yang turut terkorban bersama 13 pengikutnya.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan RCI mengenai Memali ditubuhkan, cadangan yang menerima sokongan kuat pimpinan PAS.
Ia turut dialu-alukan pimpinan Pakatan Harapan lain termasuk Dr Mahathir dan bekas timbalannya Tun Musa Hitam, yang dipertanggungjawabkan menangkap Ibrahim.
Bekas senator PAS
Zainon berkata individu yang dinamakan dalam laporan polisnya adalah bekas senator PAS, Datuk Muhamad Yusof Husin, yang pernah menjadi ahli lembaga pengurus Madrasah Islahiah Diniah, sekolah agama yang didirikan Ibrahim Mahmud.
“Dalam laporan polis itu, saya nyatakan lebih sejuta ringgit penyelewengan wang dilakukan di antara tahun 1986 hingga hingga awal tahun 2000.”
Dihubungi FMT, Yusof menafikan dakwaan Zainon, sebaliknya berkata polis sudah pun menyiasat dan mendapati tidak ada salah laku.
“Parti sudah siasat, polis pun sudah siasat. Memang tidak ada sebarang penyelewengan, malah polis pun ketawa,” kata Yusof, sambil menambah beliau tidak menghebohkan perkara itu kerana “tidak mahu memalukan sesiapa”.
Zainon bagaimanapun berkata beliau hairan mengapa siasatan polis diambil alih polis Bukit Aman di Kuala Lumpur sedangkan laporan dibuat di Baling.
“Bukit Aman tidak lakukan siasatan telus,” katanya. “Saya yang melakukan laporan polis berkenaan, tetapi saya tidak pernah dipanggil semula untuk mengambil keterangan.”
Katanya, 17 tahun selepas laporan polisnya, hasil siasatan masih tidak didedahkan
 
Copyright © 2014 PenangKini.