BREAKING NEWS

Tuesday, 22 August 2017

RCI Forex: Kerugian RM31.5 bilion wujud


21 OGOS: Hanya dalam hari pertama sesi pendengaran, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian pertukaran asing (Forex) pada 1990-an sudah ‘membuat kesimpulan’ awal bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) kerugian sekurang-kurangnya RM31.5 bilion akibat skandal berkenaan.
Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang mengetuai suruhanjaya itu berkata kerugian dialami bank pusat itu semenangnya wujud.
“Kami membuat penemuan hari ini bahawa Bank Negara rugi RM31.5 bilion antara tahun 1991 hingga 1994.
“Namun ia dihilangkan dalam laporan BNM. Kita harus kenal pasti siapa yang meminta agar ia disembunyikan. Sedikit pelik, apabila semua pihak tidak tahu mengenai perkara ini.
“Kita perlu mengetahui siapa yang bertanggungjawab menyembunyikannya,” kata Sidek dalam kamar mahkamah di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membantah kesimpulan berkenaan.
Bercakap di perkarangan mahkamah, Haniff berkata Sidek membuat kesimpulan yang tidak perlu.
Selain Sidek, RCI itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.
Turut terbabit adalah Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Yusof Ismail yang juga setiausaha RCI.
Terdahulu, saksi pertama perbicaraan yang juga bekas kakitangan BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf memberitahu panel bahawa bank pusat itu kehilangan sekurang-kurangnya RM31.5 bilion dari 1991 hingga 1994.
Kemudian, saksi seterusnya iaitu bekas penolong gabenor, Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan bahawa beliau sudah memaklumkan kepada bekas Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaafar Hussein mengenai dakwaan kerugian berkenaan pada bulan Jun 1992.
“Bagaimanapun, saya hanya mengetahuinya secara peribadi berhubung kerugian Forex,” katanya kepada lima panel RCI.
Sementara itu Tajuddin selepas mendengar keterangan kesemua saksi pada hari ini menyatakan mahu mengetahui perkara ini lebih mendalam.
“Berdasarkan keterangan saksi, banyak yang tidak mengetahui perkara ini secara mendalam. Bahkan, isu ini disimpan terlalu lama,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.