BREAKING NEWS

Monday, 14 August 2017

Sokongan Kepada YB Dr Norlela Ariffin, ADUN PKR-Penanti - Isu Kilang Haram dan Tindakan SPRM


Saya cukup terkejut bila membaca laporan Malaysiakini ( https://m.malaysiakini.com/news/391760#wItItF7RGGsc8FVP.99 ) yang menyatakan PKR Pulau Pinang menjauhkan diri daripada ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin yang mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengambil tindakan terhadap isu kilang haram di Sungai Lembu dalam DUN Penanti.

Jika laporan itu benar, ia sesuatu yang mendukacitakan kerana YB Dr Norlela Ariffin ADUN PKR-Penanti hanya mahukan keadilan dan pembelaan kepada penduduk dan pengundi di kawasan yang diwakili beliau dan Parti KeADILan Rakyat.

Adalah amat tidak wajar dan tidak adil beliau disisihkan hanya kerana mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana telah mengambil tindakan ke atas isu yang dia telah bawa untuk tindakan pihak berkuasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dua tahun lalu.

Sepatutnya PKR, sebuah parti yang kononnya memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat menyokong tindakan YB Dr Norlela, bukannya mengecam beliau atau 'memulaukan' kerana mengambil tindakan wajar demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat setempat yang diwakilinya.

Hari ini PKR mengambil pendirian untuk bersama DAP mempertahankan tindakan EXCO dari DAP yang sedang disiasat oleh SPRM dan polisi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berisiko tinggi dan membahayakan keselamatan dan kesihatan rakyat setempat dengan membenarkan sebuah kilang haram terus beroperasi walaupun terdapat banyak aduan telah dibuat terhadap kilang haram berkenaan.

Apabila YB Dr Norlela menangis kerana usul-usul menegnai kilang-kilang haram yang dibawanya ke Sidang DUN untuk perbahasan di tolak oleh Speaker DUN (Kerajaan Negeri), anggota PKR dan DAP yang lainnya turut ketawakan beliau.

Apabila terbukti isu-isu yang dibawa olehnya ada asas dan kebenaran setelah tindakan bersepadu diambil oleh beberapa agensi berwajib (kecuali MPSP), mereka membiarkan YB Dr Norlela berseorangan.

Apa yang sebenarnya DAP dan PKR mahukan daripada wakil-wakil rakyat mereka? Bersuara untuk rakyat atau menjadi burung kakatua yang hanya mengajuk suara-suara tuannya sahaja?

Tidak banyak bezanya dalam DAP. Apabila YB Teh Yee Cheu, ADUN DAP-Tanjung Bungah menegur dan mengkrtitik Kerajaan Negeri Pulau Pinang semasa Sidang Dewan Undangan Negeri, dia juga telah disuruh minta maaf dan menarik balik semua kritikan yang dibuat beliau terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Jika Wakil-wakil Rakyat DAP dan PKR sendiri tidak diberi Kebebasan untuk Bersuara bagi pihak rakyat, tidak menghairankan bilamana rakyat Pulau Pinang disaman kerana bersuara menentang Kerajaan Negeri dan media dikenakan saman kerana melaporkan sesuatu berita yang tidak memihak kepada Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang.

Terima kasih

Kenyataan Media
Datuk Sr Muhamad Farid Saad
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Kawasan Pulau Betong

Ahad 13 Ogos 2017

Untuk Sebaran Segera
 
Copyright © 2014 PenangKini.