BREAKING NEWS

Tuesday, 8 August 2017

SPRM anggap keputusan mahkamah tak jejas kes Guan Eng

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata pendakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak terjejas berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang menganggap keperluan tertuduh mengemukakan pernyataan pembelaan sebelum perbicaraan sebagai bercanggah dengan perlembagaan.
SPRM berkata pihaknya akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
“SPRM yakin dan akur dengan sebarang keputusan serta akan terus mengendalikan kes ini mengikut prosedur undang-undang secara telus dan profesional.,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 62 Akta SPRM berlawanan dengan Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan dan kesamarataan di bawah undang-undang.
Seksyen itu menghendaki tertuduh menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwa sebelum perbicaraan bermula dan salinan mana-mana dokumen yang akan digunakan bagi pembelaan.
Pada 30 Jun tahun lepas, Guan Eng dituduh berhubung penukaran status tanah serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Guan Eng dituduh menggunakan kedudukannya membeli lot tanah dan banglo di Jalan Pinhorn pada Julai 2015 daripada ahli perniagaan Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, harga yang jauh rendah daripada nilai pasaran iaitu RM4.27 juta.
Keputusan Mahkamah Rayuan semalam mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada Mac lepas, yang menolak permohonan Guan Eng dan Li Koon dan memutuskan Seksyen 62 Akta SPRM adalah sah.
 
Copyright © 2014 PenangKini.