BREAKING NEWS

Thursday, 3 August 2017

Tidak Wajar Putus Hubungan Dengan Myanmar

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyifatkan cadangan pelbagai pihak supaya memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar ekoran kegagalan negara itu menangani krisis kemanusiaan sebagai tidak wajar.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah itu hanya akan menyukarkan Malaysia dan negara-negara lain untuk membantu etnik minoriti Rohingya yang mengalami penderitaan akibat dizalimi tentera negara tersebut.
Beliau menjelaskan, hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara ketika ini juga adalah antara sebab misi kemanusiaan sebelum ini, iaitu Food Flotilla For Myanmar (FFM) pada 3 Februari lalu mencapai misinya dan berakhir dengan kejayaan.
“Kerajaan Myanmar menyambut baik inisiatif kerajaan Malaysia bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpin Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta memberi komitmen penuh memastikan agihan bantuan makanan dan keperluan lain berjalan lancar.
“Namun, Malaysia akan terus menggunakan platform antarabangsa untuk mendesak kerajaan Myanmar mengambil langkah sewajarnya menghentikan kekejaman terhadap etnik minoriti, khususnya Rohingya di negara itu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini
- Utusan Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.