BREAKING NEWS

Saturday, 26 August 2017

Umno bukan parti 'orang kampung', kata Najib


JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno bukannya parti ‘orang kampung’ atau luar bandar, sebaliknya boleh hidup segar di bandar.

Presiden Umno itu berkata kejayaan, Umno Johor Bahru contohnya, membuktikan parti ditunjangi orang Melayu itu terus mendapat sokongan rakyat walaupun bandaraya Johor Bahru menjalani proses urbanisasi.


"Saya amat tertarik dengan kejayaan Umno Johor Bahru kerana dalam peta politik tanah air kita, apabila berlaku fenomena urbanisasi, perubahan demografi serta pembangunan begitu pesat di pusat bandar, maka, sedikit demi sedikit, lama kelamaan, kawasan-kawasan tersebut (pusat bandar) beralih tangan daripada Umno atau BN menjadi kawasan pembangkang

"Tidak ada ibu negeri yang kekal kepada kawasan Umno dan BN tetapi tahniah kepada Umno Johor Bahru yang dapat mengimbangi proses urbanisasi dan mengekalkan pengaruh Umno dan BN.

“Mungkin berdasarkan pada hakikat ini, kalau ada mana-mana berpendapat Umno parti orang kampung atau luar bandar, maka, Umno JB telah menunjukkan bahawa tidak semestinya sokongan kita di luar bandar sahaja tetapi di bandar pun Umno boleh segar," katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Perdana Menteri berkata kejayaan Umno Johor Bahru itu boleh dijadikan iktibar dan dijadikan pencontoh bagi pendekatan Umno di kawasan urbanisasi.

Menurut Najib, Umno dan BN dalam masa yang sama perlu bersifat inklusif dengan tidak semata-mata menjaga orang Umno dan BN sahaja, sebaliknya mesti menjaga masyarakat awam.

"Kita mesti memaparkan Umno dan BN yang dapat memenuhi aspirasi golongan bandar. Kita mesti jaga masyarakat sivil, persatuan penduduk, kita mesti jaga masjid dan mereka yang tinggal di kawasan komuniti berpagar atau berpengawal.

"Kita mesti cari jalan bagaimana kawasan bandar tidak hanya memberi peluang kepada golongan yang bernafsu besar tetapi golongan B40 yang perlu hidup di tengah bandar," katanya.

Perdana Menteri turut bersetuju dengan teguran Shahrir terhadap dasar penswastaan pembangunan di bandaraya Johor Bahru yang belum mencapai taraf yang boleh dibanggakan dan akan memastikan tanah kerajaan yang ada di bandar raya ini benar-benar memanfaatkan seluruh rakyat.

Dalam pada itu, Najib berkata prinsip perjuangan yang ada dalam diri Shahrir merupakan antara faktor yang membolehkan Johor Bahru masih menjadi kubu kuat Umno dan BN.

Beliau berkata Anggota Parlimen Johor Bahru itu sangat komited dalam tugas dan melakukan banyak program termasuk berjaya menjadikan Kilang Bateri, di Tampoi, di sini, untuk golongan muda berniaga sekali gus satu daripada tarikan di bandar raya ini.

"Kenapa Umno dan BN masih kekal di Johor Bahru? Mungkin Shahrir setuju atau kurang setuju, tetapi, 'The Shahrir Factor' menyebabkan Johor Bahru kekal di tangan Umno dan BN.

"Letak label apa pun dia (Shahrir) menang. Label ikan pun menang...kunci pun menang.. Sebab itu kepada Shahrir, saya sebagai Presiden mengharapkan sangat beliau tidak akan berundur daripada politik," katanya, dengan menambah, beliau percaya Shahrir yang juga Pengerusi Felda, akan membawa kemajuan kepada tanah rancangan berkenaan.

Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Yayasan Bandaraya Johor Bahru, peruntukan pembinaan sebuah dewan di Kampung Datuk Onn serta peruntukan persatuan penduduk di Johor Bahru.

Najib berkata beliau juga akan meneliti cadangan Shahrir supaya tanah seluas 24 hektar milik Kastam Diraja Malaysia di bandar raya ini dapat dibina kawasan rumah mampu milik. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.