BREAKING NEWS

Friday, 18 August 2017

Wujudkan unit bantuan guaman di sekolah

Gambar hiasan
ISU buli di sekolah bukanlah perkara baharu kerana sering dilaporkan oleh media massa. Mangsa buli bukan sahaja melibatkan pelajar malah turut membabitkan guru.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan seorang guru berusia 48 tahun di Melaka cedera akibat dibaling kerusi setelah menegur perbuatan seorang pelajar berusia 14 tahun yang menggunakan bahasa kesat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 3 Julai lalu ada mengulas isu sama dengan menasihatkan guru yang dibuli pelajar tampil membuat aduan polis demi membendung penularan gengsterisme di sekolah.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat guru yang menjadi mangsa buli pelajar yang bermasalah di sekolah namun tidak serius.

Katanya, kes guru menjadi mangsa buli khususnya harta benda dirosakkan pelajar jarang didengar kerana kebanyakan mereka takut untuk melaporkan kepada polis disebabkan bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga apabila berada di luar sekolah.

Gejala buli seperti masalah lain yang melibatkan pelajar sukar untuk diatasi kerana terdapat segelintir ibu bapa dan penjaga yang gemar menuding jari kepada guru sebagai punca pelbagai kesalahan dilakukan oleh anak-anak mereka.

Sedikit sahaja tindakan diambil oleh mana-mana guru terhadap pelajar, maka laporan polis dibuat yang akan disusuli dengan tindakan saman di mahkamah. Ini tidak termasuk pendedahan yang dibuat kepada media massa atau memuat naik gambar dan video dalam media sosial sehingga menyebabkan guru berkenaan dikecam orang ramai tanpa usul periksa.

Oleh yang demikian, agak sukar untuk guru mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang didapati terlibat dengan kegiatan buli dan kesalahan lain walaupun mereka berniat baik untuk mendidik.

Memandangkan isu berkenaan sudah menjadi begitu kompleks dan sukar ditangani adalah dicadangkan ditubuhkan unit bantuan guaman di setiap sekolah atau sekurang-kurangnya di setiap jabatan pendidikan daerah dan negeri.

Unit berkenaan dapat menawarkan khidmat nasihat berkaitan aspek guaman dan perundangan kepada guru serta pelajar yang menjadi mangsa buli mengenai langkah-langkah yang sepatutnya diambil mereka.

Penubuhan unit bantuan guaman boleh dibuat melalui kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Majlis Peguam.

Unit itu seharusnya dianggotai oleh pengamal undang-undang yang pakar berkaitan gejala buli dan masalah disiplin lain melibatkan pelajar.

Dengan adanya unit itu, isu mangsa buli hanya mendiamkan diri kerana takut untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa tidak berterusan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
 
Copyright © 2014 PenangKini.