BREAKING NEWS

Wednesday, 30 August 2017

Zahid: Malaysia tak mudah keluarkan kad UNHCR kepada pelarian Rohingya

Malaysia tidak akan mengeluarkan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada warga Rohingya di negara ini sewenang-wenangnya, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata pendirian itu dibuat untuk mengelak Malaysia dan rakyat negara ini terbeban dengan kebanjiran pelarian etnik Rohingya berikutan pergolakan etnik di Myanmar.
Katanya, pendirian untuk tidak memberikan kad pelarian kepada etnik berkenaan dengan mudah turut mendapat kerjasama daripada pihak UNHCR sendiri.
“Keutamaan kita adalah rakyat kita dan kebajikan kepada rakyat kita. Bukan kita tidak ada perasaan kemanusiaan kepada pelarian ini… tetapi saya fikir masyarakat antarabangsa harus terus mengambil peduli terhadap nasib mereka juga,” katanya.

Zahid bercakap kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Hari Raya Aidiladha 1438H kawasan Parlimen Bagan Datuk hari ini.
Timbalan perdana menteri itu juga meminta Kaunselor Myanmar Aung San Suu Kyi membersihkan imej negara itu yang tercalar akibat pergolakan di Rakhine.
Katanya, masyarakat antarabangsa berkali-kali memberikan amaran kepada Yangon supaya menyelesaikan isu kemanusiaan tersebut, namun sehingga hari ini ia masih gagal diatasi.
“Saya harap perkara ini ditangani dengan serius. Jangan ada ‘double standard’ kerana perbezaan agama, jangan menjadikan isu kemanusiaan ini isu agama dan politik.
“Ia harus diselesaikan dan dimuktamadkan sebab Malaysia tidak mahu menjadi negara penerima kerana apabila berlaku permasalahan di sana, ia akan mengundang kebanjiran orang Rohingya (ke Malaysia),” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.