BREAKING NEWS

Tuesday, 26 September 2017

15 NGO Islam tuduh Hannah Yeoh cuba sebar ajaran Kristian

Buku Hannah Yeoh yang menceritakan kehidupan politiknya sekali lagi menjadi kecaman, kali ini 15 badan bukan kerajaan (NGO) Islam membuat laporan polis terhadap speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu.

The New Straits Times melaporkan Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) mengetuai kumpulan NGO terdiri daripada Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Perkasa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), serta PAS Pulau Pinang membuat laporan itu di Balai Polis Bayan Baru, George Town, semalam.

Pengerusi JMPP, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin mendakwa Yeoh cuba menyebarkan ajaran Kristian menerusi bukunya bertajuk “Becoming Hannah: A Personal Journey” yang diterbitkan pada 2014.

“Apa yang dimaksudkannya dengan membina ‘Kingdom of God’? Tuhan yang yang dimaksudkannya? Kami percaya ia adalah cubaan untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada orang lain. Pihak berkuasa harus ambil tindakan,” katanya merujuk satu perenggan dalam buku itu yang menggesa Oversea Church Fellows ke Pulau Pinang membantu gerakan Kristian di sana.
“Beliau tidak patut menggunakan Dewan Undangan Negeri sebagai platform untuk melakukan sedemikian. Beliau perlu berhenti. Dengan laporan ini, kami menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadapnya.”

“Becoming Hannah: A Personal Journey” ialah buku biografi menceritakan kehidupan Yeoh selepas beliau memenangi kerusi DUN Subang Jaya pada 2008 dengan majoriti besar, sebelum mempertahankan kerusi itu pada 2013 dan dilantik sebagai speaker DUN wanita pertama dan termuda di negara ini pada usia 34 tahun.
Buku itu dijual secara terbuka sejak dilancarkan, tanpa dikenakan sebarang sekatan daripada pihak berkuasa.

Kumpulan NGO itu turut menggesa polis membuka siasatan ke atas sebuah rakaman video bertajuk “Message to Malaysian Church 2014” didakwa bersifat hasutan yang dimuat naik ke YouTube pada 2014.
Hafiz mendakwa video 7 minit 8 saat yang menunjukkan gerakan mubaligh Kristian diketuai Aseef Hadalah, mencabar Islam sebagai agama rasmi negara.

Video itu menunjukkan Aseef berceramah dengan berkata: “Ada orang digelar mubaligh di negara lain. Tetapi, hasrat umum Tuhan untuk kita di Malaysia adalah menyerang negara ini dengan ‘Kingdom of God’. Kita diseru menyebarkan prinsip dan budaya Tuhan ke Malaysia.”
Video itu dipercayai dirakam dalam sebuah ceramah Aseef di sebuah lokasi tidak diketahui di luar negara.

Hafiz berkata, mesej itu jelas bersifat provokatif dalam menggesa orang Kristian di Malaysia “menyerang” negara.
“Ini kenyataan bersifat hasutan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Kita akan berbincang dengan pihak berkuasa berkenaan, termasuklah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memastikan Aseef tidak memasuki negara ini untuk menyebarkan kebencian itu kepada rakyat,” katanya.

Mei lalu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dilaporkan mendakwa autobiografi Yeoh mampu mengubah dirinya sehingga terdorong kepada ajaran Kristian.

Ini kerana, “terlalu banyak kisah dan petikan dari Bible” dan buku itu hanya boleh dijual di kedai buku yang menjual bahan agama Kristian.
“Kisah itu boleh mempengaruhi pembaca, termasuk saya, untuk rasa kagum dengan Tuhan Hannah Yeoh,” kata pensyarah itu dalam laporan polisnya- FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.