BREAKING NEWS

Saturday, 16 September 2017

Agong lawat pusat tahfiz terbakar

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini mencemar duli melawat pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang terbakar semalam.

Baginda yang berpakaian kemeja T hitam dan berseluar putih tiba dalam keadaan hujan renyai-renyai sebentar tadi.

Orang ramai turut berkumpul di kawasan itu.

Dalam lawatan selama setengah jam itu baginda turut diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wira Wan Mohd Noor Ibrahim serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun sambil ditemani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Baginda berangkat pulang sebaik sahaja menerima penerangan berhubung insiden tersebut.

Kebakaran awal pagi semalam meragut nyawa 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz itu dan menjadi perhatian seluruh negara.

Ia merupakan tragedi kedua terburuk, selepas kebakaran di sarama Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, juga dikenali sebagai Pondok Pak Ya, di Padang Lumat, Yan, Kedah, pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar.
 
Copyright © 2014 PenangKini.