BREAKING NEWS

Monday, 25 September 2017

Akses Baik, Ekosistem Rancak, TRX Lokasi Menguntungkan – MIDA

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyifatkan TRX sebagai satu lokasi menguntungkan dalam jangka panjang bagi perniagaan untuk berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, TRX memiliki akses yang baik dan jaringan kepada ekosistem yang rancak seperti yang terdapat di pusat bandar raya sedia ada serta seluruh Greater Kuala Lumpur.

Katanya, mengambil kira nilai strategik ditawarkan, MIDA menjangkakan lebih banyak syarikat multinasional (MNC) dan konglomerat tempatan akan menubuhkan operasi mereka di TRX.


“Dengan menubuhkan pejabat di sini, syarikat boleh berada lebih dekat dengan rantaian bekalan yang mantap dan tenaga kerja matang.

“Ini kerana TRX menawarkan prospek menarik bagi syarikat yang ingin memusatkan fungsi utama di satu lokasi dan memperkemas perkhidmatan sokongan global bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MIDA dengan kerjasama TRX City hari ini menganjurkan lawatan oleh dewan-dewan perniagaan asing ke TRX, program tertutup itu dihadiri oleh delegasi daripada pelbagai dewan perniagaan yang mewakili enam rakan perdagangan utama Malaysia iaitu India, New Zealand, Perancis, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada inisiatif MIDA untuk mengetengahkan peluang pelaburan dalam projek berimpak tinggi seperti TRX kepada komuniti perniagaan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib berkata, TRX bakal menjadi alamat perniagaan antarabangsa terbaik Kuala Lumpur dan daerah perniagaan baharu di pusat bandar ini.

“Kami teruja untuk menunjukkan kepada wakil-wakil daripada dewan perdagangan luar negara mengenai masa depan Kuala Lumpur yang sedang kami bangunkan.

“Dengan pembangunan seluas 28.3 hektar, TRX bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat utama kewangan dan perniagaan antarabangsa dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lancar dan berpusat bagi firma perkhidmatan kewangan, MNC dan perniagaan sampingan sokongan,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.