BREAKING NEWS

Thursday, 7 September 2017

#Bajet2018 Pilih beri cadangan di bawah 14 kategori

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, orang ramai boleh memilih untuk memberi cadangan di bawah 14 kategori melalui laman web khas https://bajet2018.najibrazak.com untuk Bajet 2018.

Perdana Menteri menjelaskan, 14 kategori itu meliputi ekonomi digital, kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan desa, alam sekitar dan pertanian, belia dan sukan, budaya dan pelancongan serta keselamatan awam dan ketelusan.


“Saya harap melalui inisiatif ini, lebih ramai anak Malaysia mengambil peluang untuk menjadi lebih proaktif dalam memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang kepada negara.

“Ayuh, kemukakan cadangan anda semua untuk sama-sama kita membentuk masa depan!” kata beliau menerusi catatan terbaharu di laman blog www.najibrazak.com hari ini.

Bermula semalam, orang ramai boleh mengemukakan cadangan dan maklum balas untuk Bajet 2018 secara terus kepada Perdana Menteri melalui laman web khas yang interaktif di https://bajet2018.najibrazak.com.

Menurut Perdana Menteri, platform khas itu disediakan bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat untuk turut serta dalam proses penggubalan bajet tahunan negara ke arah yang inklusif dan memenuhi keperluan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga merupakan kesinambungan daripada Majlis Konsultasi Bajet 2018 yang telah diadakan pada Jun lalu, selepas bertemu dan menerima maklum balas daripada wakil-wakil sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ini tentunya menunjukkan dasar keterbukaan kerajaan dalam mentadbir negara, mengutamakan pendekatan bottom-up berbanding top-down, mendemokrasikan bajet tahunan negara.

“Kini, penyediaan bajet tahunan negara tidak terhad kepada cadangan pegawai-pegawai kerajaan dan pihak pentadbir sahaja malah semua rakyat Malaysia turut diberikan peluang untuk bersama-sama mencatur masa depan negara,” jelas beliau

 
Copyright © 2014 PenangKini.