BREAKING NEWS

Monday, 18 September 2017

Banjir: Alasan hujan lebat kerajaan DAP P. Pinang dibidas

PULAU PINANG.– Sikap Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat menjadikan hujan lebat sebagai alasan banjir di negeri ini diselar kerana se­olah-olah lepas tangan dengan pelbagai projek pembangunan tidak dirancang yang dilaksa­nakan di negeri ini.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, banjir yang berlaku kelmarin disifatkan sebagai paling teruk sejak lebih 10 tahun lalu dan diyakini berpunca daripada aktiviti penggondolan bukit bagi projek komersial yang sepatutnya menjadi tempat tadahan air hujan.

Menurutnya, kerakusan men­ceroboh kawasan bukit itu menyebabkan air hujan mengalir deras dan warnanya keruh kerana telah menghakis tanah.
Ujar beliau, fenomena hujan luar biasa juga berlaku ketika era pentadbiran Barisan Nasio­nal (BN) tetapi kerajaan negeri ketika itu merancang pemba­ngunan bagi mengelakkan banjir teruk seperti kelmarin.

“Kita tetapkan prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak membebankan peneba­ngan pokok pada ketinggian melebihi 250 kaki (76 meter).

“Tapi itu tidak berlaku pada era kerajaan negeri hari ini, apabila kita tanya, kerajaan negeri jawab macam-macam sama seperti janji sampai ke langit,” katanya ketika berucap dalam program sembang santai di Pangsapuri Nuri, Bayan Lepas di sini kelmarin.

Kelmarin, negeri ini dilanda banjir yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 10 tahun kerana melibatkan ratusan penduduk di empat daerah dipindahkan di pusat pemindahan selain berlaku tanah runtuh dan seorang wanita lemas.

Mengulas lanjut, Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan turut menyelar pentadbiran kerajaan negeri yang disifatkan seolah-olah mentadbir negeri ini seperti sebuah ‘organisasi perniagaan’ kerana hanya mementingkan keuntungan berbanding keselamatan rakyat.

Kata beliau, selain penero­kaan hutan berlaku tanpa kawalan, tanah rakyat juga dijual bagi tujuan projek pembinaan komersial yang hanya menguntungkan pemaju.


“Sebab itu, rakyat perlu menilai tindakan rakus kerajaan negeri hari ini, jangan hanya mahu mencuba kepemimpinan baharu sehingga sanggup menggadai hak mereka,” katanya.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.