BREAKING NEWS

Sunday, 17 September 2017

Banjir Di Pulau Pinang Semakin Kerap, Perlu diatasi

PULAU PINANG 16 Sept. - Beberapa aktivis alam sekitar di negeri ini menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang supaya lebih agresif dalam mencari penyelesaian bencana banjir kilat yang kerap melanda ketika ini.

Malah, mereka turut mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang berhenti menuding jari kepada pihak lain, khususnya kerajaan Pusat, sebaliknya mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu itu segera.


Penasihat Persatuan Alam Sekitar Pulau Pinang, D. Kanda Kumar berkata, kerajaan negeri perlu mengambil langkah mengatasi masalah banjir selari dengan kepesatan pembangunan yang diluluskan di negeri ini.

Ujar beliau, apa yang diperhatikan penduduk negeri ini ketika ini adalah sistem perparitan dan aliran air sedia ada tidak sistematik, sekali gus tidak mampu menampung kepesatan projek pembangunan yang sedang rancak dijalankan.

“Sepatutnya kerajaan negeri sudah mempunyai sistem yang boleh menentukan taburan air hujan di sesebuah kawasan yang dibangunkan supaya tidak berlaku limpahan air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas bencana banjir kilat yang disifatkan antara terburuk melanda hampir seluruh kawasan negeri ini semalam yang menenggelamkan lebih 100 kawasan dan menjejaskan ribuan penduduk.

Tambah Kanda Kumar, kerajaan DAP Pulau Pinang juga sepatutnya menyedari keadaan cuaca di negara ini yang mana akan berlaku peralihan monsun, seterus­nya menyebabkan taburan hujan lebih tinggi.

Sehubungan itu kata beliau, kawasan-kawasan tadahan air serta berisiko seperti di lereng-lereng bukit tidak sepatutnya diluluskan untuk pembangunan kerana sudah pasti akan menyebabkan bencana banjir lumpur seperti yang sedang dihadapi penduduk negeri ini ketika ini.

Dalam pada itu, Penasihat Citizens Awareness Chant Group, Yan Lee pula mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas bagi menilai dan meneliti projek-projek komersial di lereng bukit.

Menurut beliau, usaha itu bertujuan mengenal pasti risiko dan ancaman keselamatan yang dise­babkan kelulusan projek tersebut, sekali gus mencari jalan penyelesaian berikutan terdapat tragedi tanah runtuh di lereng bukit dalam bencana banjir kilat semalam.

“Kita sebelum ini juga pernah beberapa kali mencadangkan perkara ini kepada kerajaan ne­geri, namun tiada sebarang maklum balas sehingga kini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa penduduk negeri ini membuka mata terhadap bencana banjir kilat yang semakin kerap berulang dan menjejaskan mereka itu, sekali gus mengambil langkah sewajarnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.