BREAKING NEWS

Wednesday, 6 September 2017

BNM rugi 10 kali ganda dalam pelaburan forex sejak 1988

PUTRAJAYA: Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an, bank pusat itu mengalami kerugian 10 kali ganda daripada pelaburannya bermula 1988.
Bekas gabenor BNM terbabit yang merupakan saksi ke-16 RCI memberitahu panel 5 ahli itu yang bank pusat berkenaan menanggung kerugian berjumlah RM35.009 bilion mulai 1988 hingga 1994 akibat perdagangan forex, kecuali keuntungan yang diperolehi pada 1990.
“Jumlah kerugian keseluruhan dialami BNM dalam urus niaga forex bagi 1988 dan 1989 ialah RM3.503 bilion dan bagi 1991 hingga 1994, kerugian ialah RM31.506 bilion.
“Keuntungan pada 1990 ialah RM2.473 bilion,” katanya ketika memberi keterangan di Istana Kehakiman.
Zeti mula berkhidmat dengan BNM sejak 1981 dan dilantik sebagai gabenor bank pusat itu pada 2000 sebelum perkhidmatannya tamat pada Mei 2016.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, beliau hanya mendapat tahu kerugian ditanggung BNM itu pada 1994, ketika bekerja di pejabat BNM di London.
“Masa itu, saya masih bekerja di pejabat di London dan saya hubungi pegawai kanan BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu BNM mengalami kerugian daripada pengurusan rizab,” katanya.
Pada hari pertama prosiding, Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilaporkan berkata, suruhanjaya itu “membuat kesimpulan” jumlah kerugian akibat urus niaga forex BNM dari 1991 hingga 1994 ialah RM31.516 bilion.
Bagaimanapun, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang merupakan peguam Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Sidek menarik balik kenyataan itu, memandangkan prosiding RCI belum selesai.
Prosiding hari ini merupakan sesi ke-5 RCI bagi menyiasat kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan forex sekitar 1990-an.
Kerugian itu berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Dr Mahathir, sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan menteri kewangan ketika itu.
Selain Sidek, RCI itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail.
 
Copyright © 2014 PenangKini.