BREAKING NEWS

Thursday, 28 September 2017

Bomba: Gril, pili masalah sekolah tahfiz Pulau Pinang


BUTTERWORTH: Bomba hari ini mengumumkan hampir separuh daripada 400 sekolah tahfiz di negeri itu selamat, tetapi isu seperti gril dan pili bomba harus diselesaikan.
Superintenden bomba Mohd Syafiq Mohd Jamil berkata audit ke atas sekolah tahfiz dan asrama dijalankan sejak awal tahun ini dan mendapati banyak pusat tahfiz memasang gril pada tingkap.
Beliau berkata sekolah berkenaan diminta menanggalkan gril atau memastikan bahagian cermin mudah pecah untuk membolehkan mereka menyelamatkan diri semasa kebakaran.

Syafiq, yang mengetuai bahagian keselamatan kebakaran bomba Pulau Pinang, berkata sesetengah sekolah turut memasang gril pada tangga bagi tujuan keselamatan.
Pengendali sekolah diminta membiarkan gril itu terbuka atau menanggalkannya bagi memastikan laluan keluar yang lancar semasa kebakaran.

“Juga banyak sekolah terletak jauh dari pili bomba. Air sukar didapati pada musim kering terutamanya di kawasan kampung dan usaha melawan api menjadi sukar.
“Mungkin pihak berkuasa tempatan boleh memasang pili berdekatan sekolah,” kata Syafiq kepada pemberita pada sidang media berhampiran Sungai Dua hari ini.Terdapat kira-kira 349 sekolah agama Islam pelbagai jenis yang berdaftar di Pulau Pinang.

Syafiq berkata kebanyakan sekolah tahfiz di negeri itu memiliki laluan keluar dan tempat berhimpun, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Kita mahu didik sekolah-sekolah ini untuk lantik seorang marsyal kebakaran. Marsyal kebakaran akan himpukan warga sekolah d tempat berhimpun, yang paling baik dalam jarak yang selamat dari sekolah,” katanya.

Terdahulu, Syafiq dan pegawainya memeriksa Sekolah Menengah Agama ‘Ibrah di Kampung Tanjung Putus untuk menilai kesediaan menghadapi kebakaran.
Syafiq turut menyampaikan ucapan selama 1 jam kepada kira-kira 200 pelajar mengenai kesediaan menghadapi kebakaran di sekolah.

Bomba mengisytiharkan sekolah dan asrama itu selamat diduduki.
Syafiq juga menggesa lebih banyak sekolah menyertai latihan kesediaan kebakaran “Skuad Bomba” untuk para guru dan pelajar. Beliau berkata sesi latihan cuma 8 jam tetapi boleh dibahagikan kepada 2 sesi 4 jam.

Bomba juga akan menjalankan latihan di sekolah-sekolah berkenaan, tambahnya.
“Setakat ini, kita ada 20 sekolah skuad bomba. Latihan itu percuma dan kita harap lebih ramai sertai kami.”

Sekolah yang berminat mengambil bahagian dalam sesi latihan boleh menghubungi balai bomba terdekat untuk maklumat lanjut.
Skuad bomba dibentuk oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pada 30 Mei untuk mengurangkan kejadian kebakaran sekolah tahfiz.
Beliau memberitahu BH Online dalam 3 bulan pertama tahun ini, 30 daripada 1,785 kebakaran membabitkan sekolah tahfiz.

Isu ini timbul susulan tragedi kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah 2 minggu lepas yang meragut nyawa 21 pelajar dan 2 guru.Polis menahan 7 remaja yang disyaki terbabit dalam kebakaran itu. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.