BREAKING NEWS

Thursday, 28 September 2017

Cemas, penyamun berparang masuk dalam rumah

SIMPANG AMPAT - Seorang operator kilang terpaksa berhadapan dengan situasi yang mencemaskan apabila dia disamun oleh dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Lorong Cassia, Bandar Cassia di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 45 tahun dikatakan sedang tidur dibilik bawah rumah dua tingkat miliknya sebelum didatangi dua lelaki bertopeng berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Shafee Abdul Samad berkata, kedua-dua suspek bertindak mengejut wanita berkenaan sebelum mengikat ibu jari tangan kiri dan kanan mangsa dan mengikat mulut mangsa dengan kain.


Menurutnya, kedua-dua supsek mengugut untuk mencederakannya dan mengarahkan manga untuk menyerahkan semua barang berharga miliknya.

"Kerana takut dicederakan, mangsa terpaksa memberitahu dimana dia menyimpan barang berharga miliknya termasuk seutas rantai tangan emas dan dua utas rantai leher.

"Selain itu, kedua-dua suspek turut mengambil wang tunai sebanyak RM200, sebuah tv plasma, sebuah telefon bimbit dan beberapa kad bank," katanya ketika dihubungi di sini.

Shafee berkata, selepas mendapatkan barangan berharga itu, kedua-dua penyamun bertopeng itu bertindak melarikan diri.

Katanya, mangsa yang masih dalam ketakutan terus berlari naik ke bilik di bahagian atas rumah untuk mengejutkan anak lelakinya.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek memasuki rumah mangsa melalui pintu depan rumahnya.

"Rumah mangsa terletak di bahagian tepi sekali dan tidak mempunyai kamera litar tertutup. Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian ini," katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
 
Copyright © 2014 PenangKini.