BREAKING NEWS

Monday, 25 September 2017

DAP Dakap Mahathir Untuk Ganti Kehilangan PAS – Penasihat SUARAM

DAP sengaja mendakap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan PPBM sebagai mengganti kehilangan PAS yang ditendang daripada Pakatan Rakyat, kata bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Kua Kia Soong.

Dr Kua yang juga Penasihat SUARAM berkata Dr Mahathir merupakan musuh utama DAP sebelum ini, namun parti itu menukar pendirian menyokong bekas Perdana Menteri itu selepas tiada lagi sokongan Melayu-Islam daripada PAS.

PAS Akan Diketepikan Bila DAP Dapat Undi Melayu - Tunku Aziz
“DAP sekarang sanggup dan malah mampu untuk bekerjasama dengan orang yang telah bertanggungjawab untuk penswastaan hampir semua industri di Malaysia dan memusnahkan keabsahan apa sahaja bentuk demokrasi yang kita ada selama 22 tahun beliau memegang jawatan. Semua kerana kenyataan yang disebut perlu untuk “Menyelamatkan Malaysia”.

“Inilah perubahan politik ketara oleh DAP. Kesediaan mereka semasa bekerjasama dengan bekas pemimpin zalim dan autokratik Malaysia memerlukan analisa ekonomi politik yang lebih bertanggungjawab oleh kepimpinan DAP untuk menjustifikasikan bentuk penyamaran ini.

“Mereka juga berhutang dengan rakyat Malaysia analisa kelas penindasan di Malaysia hari ini dan bagaimana hubungannya dengan agenda baru mereka “Selamatkan Malaysia”.

“Kepimpinan DAP kini memperjudikan agenda Melayu baru mereka dan bekas pemimpin PAS “Harapan Baru” untuk mendapatkan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pindaan Akta RUU 355, Bantahan & Penipuan DAP
Beliau berkata DAP menendang keluar PAS daripada PR bukan disebabkan tindakan Kerajaan PAS Kelantan meluluskan rang undang-undang bagi pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) pada 18 Mac 2015.

“Umumnya telah diberitahu bahawa ia adalah kerana komitmen PAS terhadap pindaan Rang undang-undang Syariah. Adakah ia benar? Adakah Nik Aziz bekas Menteri Besar Kelantan tidak meminda dan meluluskan rang undang-undang yang sama di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 90an? ”

Sebaliknya, Dr Kua menegaskan punca sebenar PAS dikeluarkan daripada PR kerana parti Islam itu khususnya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak bersetuju dengan Langkah Kajang yang diusahakan PKR dan disokong DAP.

Langkah Kajang: Mustahil Pembangkang Akan Mohon Maaf Atas Gerakan Berasaskan Pembohongan
“Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan tersebut tahu bahawa persengketaan di antara DAP dan PAS bermula sebelum pindaan rang undang-undang syariah di Parlimen lagi. Akibat tindakan bodoh ‘Langkah Kajang’ pada 2014 kita menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor yang secara terbuka dihina oleh pemimpin-pemimpin DAP sebagai tidak berkemampuan dan mengamalkan rasuah, faktor yang diangkat sebagai sebab utama perlucutan jawatannya sebagai Menteri Besar.

“Adakah Presiden PAS telah diberi penjelasan tentang langkah politik yang tidak bertanggungjawab ini? Langkah Kajang sebenarnya menunjukkan penghinaan bukan sahaja terhadap pengundi-pengundi di Kajang tetapi juga tidak bertanggungjawab terhadap kepimpinan PAS yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

“Apa yang rakyat Malaysia saksikan semasa kontroversi Menteri Besar Selangor ini adalah penghinaan yang ditunjukkan terhadap Presiden PAS bukan sahaja dalam tidak diberi penjelasan sejak dari mula tentang salah laku bekas Menteri Besar dan akibat daripada “Langkah Kajang” tetapi juga diperangkap oleh “Rottweilers” DAP.



“Maka jelas terdapat rasa kurang hormat di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat yang membenarkan pemimpin-pemimpin kecil parti berlaku kurang ajar di khalayak umum terhadap Presiden sebuah parti komponen dalam Pakatan Rakyat. Tidak lama kemudian, seorang pemimpin tertinggi DAP memulakan persengketaan apabila Setiausaha Agung DAP menggelar Presiden PAS “gila” dan “pembohong”, antara sebab utama persengketaan berterusan di antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat tersebut. Pakatan tersebut telah secara rasmi dibubarkan oleh DAP pada 16 Jun 2015, dengan alasan ketidakmampuan mereka untuk bekerjasama dengan PAS.

“Ikrar dan kesungguhan semua pemimpin DAP untuk menarik lebih ramai ahli Melayu, mengutuk Presiden PAS tidak mungkin membantu DAP untuk menawan penyokong akar umbi PAS di seluruh negara. Saya terkejut, pemimpin DAP berfikir bahawa usaha kosmetik mereka memilih beberapa kerat pemimpin Melayu untuk bersama dalam kepimpinan DAP boleh memperbaiki semua kerosakan yang dilakukan dengan terus mengutuk pemimpin utama parti berasaskan Melayu!” katanya lagi.

Sumber: AIDC
 
Copyright © 2014 PenangKini.