BREAKING NEWS

Thursday, 7 September 2017

DAP terdesak mahu sokongan Pas - Shamsul

DAP kini terdesak untuk mengajak Pas kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) dengan meramalkan parti itu bakal kalah di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) jika enggan kembali menyertai pakatan pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kenyataan itu strategi DAP untuk menimbulkan suasana bimbang di kalangan pimpinan Pas dengan harapan parti itu akan terpengaruh kemudian kembali menyertai PH.

"Itulah keinginan sebenar DAP. Usaha ini, dilakukan secara berterusan setelah pelbagai cara DAP dilihat gagal.

"Sama ada Pas terpengaruh atau tidak, tentunya terpulang kepada kepimpinan parti itu sendiri, namun pendirian Pas sebenarnya boleh diagak.

"Namun, apa yang boleh dilihat sebenarnya DAP masih mengharapkan Pas dalam usaha menarik sokongan pengundi Melayu Islam. Lantaran itulah hakikatnya DAP termasuk juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengharapkan Pas," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Pas berdepan risiko kehilangan Kelantan pada PRU ke-14 berikutan keengganan parti itu kembali menyertai pakatan pembangkang.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa Pas tidak boleh membentuk sebuah kerajaan baharu kerana parti itu tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi kerajaan.

Sehubungan itu, Guan Eng mengingatkan parti-parti gabungan dalam PH untuk tidak berharap Pas akan kembali menyertai pakatan pembangkang.

Dalam pada itu tegas Shamsul, keadaan itu seolah-olah memperlihatkan bahawa DAP kurang berkeyakinan pada Amanah atau PPBM dalam usaha menarik sokongan pengundi Melayu dan Islam kepada PH.

"Situasi ini pasti menggusarkan DAP, apalagi bila melihat trend dalam dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini iaitu di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor.

"Maknanya DAP tahu bagaimana pengaruh Pas. Malah, melihat kepada perkembangan mutakhir ini dengan pelbagai masalah yang berlaku pada PPBM dan PKR, DAP tentu bimbang dengannya," ujarnya.

Shamsul turut percaya pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO di semua peringkat sentiasa faham dengan apa juga mainan dan stretagi DAP atau parti lain dalam PH.

"Sebagaimana yang rakyat lihat, UMNO dan BN akan terus bekerja serta berbakti dan membuat kebajikan pada rakyat.

"UMNO tahu selagi kita membantu rakyat, rakyat akan terus menyokong kita.

"Apa pun saya harap rakyat jangan terpengaruh dan memperjudikan masa depan dengan memberikan kuasa pada PH yang ternyata tiada kesepakatan dan bercelaru," katanya.

Pada Jun tahun lepas, BN mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan kemenangan di kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi dan Kuala Kangsar (6,969 undi).

 
Copyright © 2014 PenangKini.