BREAKING NEWS

Tuesday, 19 September 2017

Doktor Keluarkan Batu Karang Sebesar Telur Burung Unta



LOS ANGELES: Sekumpulan doktor di sebuah hospital di sini terkejut selepas mengeluarkan batu karang hampir sebesar telur burung unta di saluran kencing seorang lelaki.

Lelaki berusia 64 tahun itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini selepas mengadu sakit perut dan sukar untuk membuang air kecil.

Imbasan CT mengesan satu objek besar pada bahagian perut lelaki itu yang menyebabkan saluran kencing pesakit tersumbat.

Selepas pembedahan dilakukan doktor berjaya mengeluarkan batu karang seberat 770 gram dari perut pesakit.

Dalam laporan yang disiarkan Jurnal Perubatan New England, doktor yang merawat lelaki itu menjelaskan pesakit mengalami kanser pundi kencing lebih 10 tahun lalu.

Doktor membuang pundi kencing lelaki itu dan membuat saluran baru daripada usus pesakit untuk air kencing keluar dari tubuh.

Prosedur itu boleh meningkatkan risiko seseorang membentuk batu karang.

Kata laporan itu, pesakit berkenaan tidak mengalami sebarang masalah selepas pembedahan dan dia kini dipantau oleh doktor.

Walaupun batu karang yang dikeluarkan dari badan lelaki itu sangat besar tetapi ia bukanlah yang terbesar pernah direkodkan.

Menurut Rekod Dunia Guinness, batu karang paling besar di dunia dikeluarkan dari perut seorang lelaki Brazil, Jose de Castro da Silva pada 2003.

Batu karang yang dikeluarkan dari badan lelaki berusia 62 tahun itu adalah seberat 1.9 kilogram.-Agensi
 
Copyright © 2014 PenangKini.