Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, bukanlah sesuatu yang pelik apabila Dr. Mahathir ketika ini sering memutarbelitkan fakta semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sedangkan, katanya, Dr. Mahathir turut berusaha menjalinkan hubungan dengan Presiden AS ketika beliau mentadbir negara dahulu.
“Tetapi hari ini, apa yang Perdana Menteri buat semua salah, tidak betul sedangkan beliau juga melakukannya dulu.
Advertisement
“Beliau kritik pertemuan Najib de­ngan Presiden AS, Donald Trump tetapi Dr. Mahathir sendiri berhabis jutaan ringgit membayar pelobi untuk bertemu Bush. Beliau bukan hanya hipokrit, malah pakar putar belit juga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Najib yang meminta Dr. Mahathir jangan bersikap hipokrit kerana Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sendiri telah berbelanja jutaan ringgit kepada pelobi semata-mata untuk bertemu Bush semasa pentadbirannya.
Mengulas lanjut, Zambri memberita­hu, tindakan Dr. Ma­hathir itu dilihat sebagai terdesak selepas segala perancangan beliau mahu menjatuhkan Perda­na Menteri sebelum ini tidak berjaya.
“Sebab itu beliau cuba menimbulkan perkara yang tidak benar, untuk menakutkan-menakutkan orang ramai. Saya berharap rakyat tidak terpengaruh dengan sikap hipokrit serta putar belit Dr. Mahathir ini.
“Beliau seharusnya mencontohi Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak lagi mencampuri sebarang urusan pentadbiran negara selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri,” jelasnya.