BREAKING NEWS

Tuesday, 26 September 2017

e-Pengeluaran Mudahkan Pencarum KWSP Miliki Kediaman Idaman

KUALA TERENGGANU - "Mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sekadar jaminan untuk masa tua saya, tapi ia juga memudahkan urusan pembelian kediaman idaman saya kelak," kata Ku Nur Madihah Ku Yaacob, 34.

Pegawai tadbir di sebuah institut pengajian tinggi awam di sini itu berkata meskipun kini KWSP memberi kelonggaran kepada pencarum membuat pengeluaran akaun kedua bagi membayar ansuran pinjaman perumahan menerusi perkhidmatan e-Pengeluaran, tetapi beliau memilih untuk tidak berbuat demikian.

"Mungkin ramai kawan-kawan di luar sana lebih selesa memilih langkah tersebut bagi mempercepatkan pemilikan kediaman masing-masing tetapi bagi saya, biarlah saya bersabar agar simpanan itu dikeluarkan selepas saya pencen memandangkan simpanan ini dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

"Yang penting saya sudah mempunyai simpanan yang cukup untuk memiliki kediaman idaman saya dan keluarga apabila bersara kelak," katanya kepada Bernama di sini.

Wang simpanan selebihnya boleh digunakan untuk keperluan lain seperti membiayai pendidikan anak-anak dan membuat sedikit pelaburan jangka panjang untuk kegunaan di hari tua nanti, katanya.

Kemudahan e-Pengeluaran merupakan saluran serahan permohonan pengeluaran secara dalam talian melalui laman web KWSP bagi ahli yang mempunyai i-Akaun untuk membeli/membina rumah, mengurang/menyelesaikan baki pinjaman perumahan, ansuran bulanan pinjaman perumahan dan pendidikan.

KWSP sebelum ini mengumumkan ahli-ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan RHB Bank dan Maybank boleh memilih menghantar permohonan pengeluaran mereka secara dalam talian melalui kemudahan e-Pengeluaran untuk pembayaran balik pinjaman perumahan.

RHB Bank juga pada masa sama menggalakkan pencarum yang mempunyai baki akaun kedua yang mencukupi menggunakan perkhidmatan e-Pengeluaran KWSP, untuk membantu mengurangkan komitmen pembayaran balik bulanan pinjaman perumahan mereka.

Sementara itu, pegawai pemasaran di sebuah syarikat perkapalan di sini, Mohd Safuwan Mohd Saidi, 27, berkata kemudahan e-Pengeluaran KWSP memberi peluang kepada pencarum muda sepertinya memiliki rumah dengan lebih mudah dan cepat.

Kemudahan itu juga katanya harus direbut oleh generasi muda yang kini kebanyakannya dibebani pelbagai jenis hutang hingga menyukarkan mereka memiliki kediaman sendiri hingga waktu persaraan.

"Harga rumah sekarang tidak menentu di pasaran dan biasanya lokasi dan keadaan ekonomi akan mempengaruhi harga rumah. Jadi, saya berhasrat sebelum harga rumah makin melambung, ada baiknya saya mengeluarkan sedikit wang simpanan dalam akaun kedua KWSP untuk membayar ansuran bulanan rumah.



"Sekurang-kurangnya apabila sudah bersara kelak, rumah tersebut sudah separuh dibayar, lebihan wang simpanan itu boleh saya membeli rumah lain pula sebagai pelaburan," katanya. -- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.