BREAKING NEWS

Monday, 4 September 2017

Fatwa berkaitan dengan syiah di Malaysia yang harus anda tahu !

Tahukah anda pada bulan Mei 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan menarik balik kebenaran mengamalkan Mazhab Syiah aliran Zaidiyah dan Jaafariah di Malaysia?
Ini secara tidak langsung menjadikan semua amalan Syiah tidak diterima di negara ini. Fatwa juga menetapkan, umat Islam di Malaysia perlu mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah daripada segi akidah, syariah dan juga akhlak.
Ajaran Islam selain daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam. Penyebaran ajaran selain daripada pegangan Ahli Sunnah adalah dilarang keras.
Penerbitan, penyiaran dan penyebaran sebarang buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah diharamkan.

Fatwa Negeri-Negeri dalam Malaysia berkaitan dengan Ajaran Syiah

Kedah
Jawatankuasa fatwa bersetuju
  • Umat Islam di Negeri Kedah Darul Aman perlu mengikut undang-undang dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah daripada segi akidah, syariah dan akhlak.
  • Ajaran Islam selain daripada pegangan Ahli Sunnah adalah bercanggah dengan hukum syarak. Oleh itu, penyebaran apa-apa ajaran selain pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah adalah dilarang.
  • Penerbitan, penyiaran dan penyebaran melalui buku, risalah video dan lain-lain berkaitan dengan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah adalah dilarang keras.
Selangor
Fahaman Syiah didapati menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang berlandaskan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Umat islam yang menganut fahaman ini wajib kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Beberapa penjelasan dan ciri ajaran Syiah yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah diberikan berhubung dengan keputusan ini.
Ia termasuk kepercayaan Syiah bahawa Imam mereka adalah maksum, iaitu sama seperti nabi-nabi, menyanjung Saidina Ali secara berlebihan sehingga sama taraf dengan Rasulullah s.a.w dan menambah kalimah syahadah dengan nama Ali.
Kelantan, 1996
Umat Islam di Kelantan perlu mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah daripada segi akidah, syariah dan akhlak.
Ini kerana, ajaran Syiah jelas menyeleweng daripada segi akidah syariah dan akhlak.
Terengganu, 1997
Umat Islam di Terengganu perlu mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dariapda segi akidah, syariah dan akhlak.
Penerbitan dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli SUnnah adalah diharamkan.
Kuala Lumpur, 1997
Menyokong pemansuhan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa pada 24 dan 25 September 1984 yang menyatakan hanya mazhab Syiah Zaidiyah dan Jaafariah diterima untuk diamalkan di Malaysia.
Sarawak 1996
Semua mazhab syiah daripada golongan apa pun tidak boleh diterima untuk diamalkan oleh orang-orang Islam di Sarawak.
Umat Islam di Sarawak perlu mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah daripada segi akidah, syariah dan akhlak.
Pulau Pinang 1997
Ajaran dan fahaman Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli sunnah. Ia menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya daripada berkembang di Pulau Pinang.
Jadi dapat disimpulkan bahawa Malaysia sebenarnnya secara total menolak ajaran syiah.

 
Copyright © 2014 PenangKini.