BREAKING NEWS

Friday, 15 September 2017

Gerakan Gesa K'jaan P. Pinang Akui Kelemahan Tangani Masalah Banjir


GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP hari ini didesak mengakui kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di negeri itu kebelakangan ini adalah akibat pembangunan negeri yang tidak terancang.
Dalam gesaannya, Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata kerajaan negeri juga perlu mengakui kejadian banjir terbabit disebabkan pembangunan yang terlalu pesat.
Sepanjang hampir 10 tahun DAP mentadbir Pulau Pinang, mereka hanya tahu menolak isu banjir kepada kerajaan persekutuan, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Oh berkata kejadian banjir kilat terbaharu hari ini yang turut menyaksikan kejadian tanah runtuh selain air kekuningan, menunjukkan kesemua itu kesan daripada kelulusan yang diberi pihak kerajaan negeri kepada pemaju untuk meneroka kawasan hutan dan lereng bukit. 
“Apa yang diharapkan oleh rakyat negeri adalah untuk melihat kesungguhan pihak kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah tersebut dan bukannya sekadar mencari alasan untuk mengelakkan dirinya daripada dipertanggungjawabkan," katanya.
Hujan lebat sejak 3 pagi tadi telah mengakibatkan 100 kawasan di Pulau Pinang dinaiki air  serta  lebih 40 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Mengulas lanjut, Oh berkata kekerapan banjir kilat melanda negeri itu hanya membawa kerugian besar kepada masyarakat khususnya peniaga selain kerosakan harta benda rakyat.
"Rakyat negeri ingin melihat pelan tindakan yang dicadangkan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk menyelesaikan masalah banjir. 
"Lebih mengecewakan ialah setelah 10 tahun DAP mentadbir Pulau Pinang, masalah banjir  semakin serius dan terdapat banyak kawasan yang dahulunya tidak pernah dilanda banjir turut terjejas. Hal ini jelas membuktikan kegagalan pihak kerajaan negeri dalam isu ini," katanya.


-- BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.