BREAKING NEWS

Sunday, 17 September 2017

Gerakan mahu kerajaan Pulau Pinang akui lemah tangani banjir

 Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP hari ini didesak mengakui kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di negeri itu akibat pembangunan negeri yang tidak terancang.

Dalam gesaannya, Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata kerajaan negeri juga perlu mengakui kejadian banjir terbabit disebabkan pembangunan yang terlalu pesat.
Hampir 10 tahun DAP mentadbir Pulau Pinang, mereka hanya tahu menolak isu banjir kepada kerajaan persekutuan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Oh berkata kejadian banjir kilat hari ini yang turut menyaksikan kejadian tanah runtuh selain air kekuningan, menunjukkan kesemua itu kesan daripada kelulusan diberi pihak kerajaan negeri kepada pemaju untuk meneroka kawasan hutan dan lereng bukit.

“Apa yang diharapkan rakyat adalah untuk melihat kesungguhan pihak kerajaan negeri menyelesaikan masalah tersebut, bukannya sekadar mencari alasan mengelakkan diri daripada dipertanggungjawabkan,” katanya.

Hujan lebat sejak 3.00 pagi tadi mengakibatkan 100 kawasan di Pulau Pinang dinaiki air serta lebih 40 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Mengulas lanjut, Oh berkata kekerapan banjir kilat melanda negeri itu hanya membawa kerugian besar kepada masyarakat khususnya peniaga selain kerosakan harta benda rakyat.
“Rakyat negeri ingin melihat pelan tindakan dicadangkan kerajaan Pulau Pinang untuk menyelesaikan masalah banjir.

“Lebih mengecewakan, setelah 10 tahun DAP mentadbir Pulau Pinang, masalah banjir semakin serius dan terdapat banyak kawasan yang dahulunya tidak pernah dilanda banjir turut terjejas. Hal ini jelas membuktikan kegagalan pihak kerajaan negeri dalam isu ini,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.