BREAKING NEWS

Sunday, 17 September 2017

Guan Eng Juga Perlu letak Jawatan - Noh Omar

Penasihat DAP, Lim Kit Si­ang digesa menerima ca­ba­ran supaya memastikan anaknya, Lim Guan Eng yang kini didakwa di mahkamah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu bagi menghormati peraturan seperti mana yang selalu dipraktikkan dalam kerajaan.


Katanya, dalam perkhidmatan awam sekali pun, mana-mana kakitangan jika didakwa di mahkamah, boleh ditahan kerja.

“Saya sambut cabaran yang dibuat Kit Siang yang cuba kaitkan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dengan jawatan saya. Beliau (Kit Siang) meminta saya meletakkan jawatan ataupun saya dipindahkan ke kementerian lain. Apa ceteknya pemikiran Kit Siang?” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Kit Siang dalam blognya semalam mahukan Noh meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana didakwa tidak memahami fungsi, tidak serius dan tidak sesuai dengan portfolionya.

Penasihat DAP itu juga mencadangkan Noh ditukarkan ke kementerian lain.

Tambah Noh, beliau sama se­kali tidak gentar dengan cabaran ber­kenaan.

“Sebelum dia cabar saya letak jawatan, dia sepatutnya mene­rima cabaran daripada rakyat di mana anak dia, Guan Eng yang secara terang-terangan telah didakwa di mahkamah. Sepatutnya dia (Guan Eng) juga perlu meletakkan jawatan,” ujarnya.

Noh turut menyelar sikap pembangkang yang suka mencari kesalahan orang lain berbanding kesalahan diri sendiri.

“Inilah sikap pembangkang. Kuman seberang laut nampak, gajah depan mata tidak nampak. Dia nampak kesalahan saya, kesalahan anak dia tak nampak. Ini perangai pembangkang yang tidak akan mengaku silapnya dan sentiasa mencari salah orang lain.

“Kalau inilah yang diamalkan, kalau inilah pemikiran pembangkang, kalau mereka memerintah, saya tidak yakin kita boleh hidup aman makmur bersatu padu se­perti yang telah dicapai pada waktu ini,” tegasnya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.