BREAKING NEWS

Wednesday, 27 September 2017

Hamilton Sedih Tiada Lagi Formula 1 Di Malaysia Tahun Hadapan


KUALA LUMPUR: Juara dunia tiga kali Lewis Hamilton meluahkan kesedihannya kerana akan berlumba untuk kali terakhir dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu ini.

Pelumba pasukan Mercedes AMG Petronas berusia 32 tahun itu berkata, baginya perlumbaan di Malaysia adalah seperti perlumbaan di laman sendiri dan dia sama sekali tidak menjangkakan bahawa tahun ini adalah tahun terakhirnya bersaing di Sepang.

Pemandu dari Britain itu berkata, GP Malaysia merupakan perlumbaan yang paling sukar setiap tahun dan sentiasa memberikan cabaran besar kepada pelumba termasuk dirinya, khususnya dari segi persediaan fizikal selain cuaca yang sukar diduga.

“Saya memang tidak tahu kenapa F1 di Malaysia akan ditamatkan, bagi saya Malaysia seperti laman sendiri buat pasukan ini dan kami sangat gembira untuk berada di sini kerana makanan yang sedap selain kepelbagaian budaya di sini.

“Saya masih ingat lagi perlumbaan pertama saya di sini ketika bersama pasukan McLaren, banyak perkara menarik berlaku dan antaranya saya tersilap masuk kawasan pit pasukan lain.

“Memang saya sangat sedih kerana ini adalah perlumbaan terakhir kami di Malaysia dan saya berharap Mercedes akan mencipta kejayaan besar hujung minggu ini,” katanya ketika menghadiri majlis di Galeri Petronas di KLCC, di sini hari ini.

Perlumbaan F1 di Sepang hujung minggu ini yang diberi nama F1NALE adalah perlumbaan terakhir di Malaysia sejak kali pertama diperkenalkan 18 tahun lalu.

Malaysia menempa sejarah sebagai negara Asia Tenggara pertama menganjurkan perlumbaan kereta paling berprestij itu pada 1999, yang menyaksikan pemandu Ferrari, Eddie Irvine dari Britain muncul juara sulung.

Hamilton, yang baru sahaja memenangi GP Singapura dua minggu lalu, memberitahu dia sudah melakukan persiapan rapi untuk berlumba hujung minggu ini kerana sedar bakal berdepan cabaran sukar di SIC.

Katanya, dia perlu sentiasa kekal terhidrat kerana Malaysia memiliki cuaca yang agak panas berbanding negara lain dan itu adalah cabaran besar buat pelumba dan juga mekanik pasukan.

- Utusan Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.