BREAKING NEWS

Wednesday, 20 September 2017

Imigresen pasang peranti status sekatan perjalanan di KLIA

mustafar-sspi
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen akan memperkenalkan peranti yang membolehkan orang ramai menyemak status kawalan imigresen mereka di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bulan depan.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata peranti tersebut boleh digunakan oleh penumpang secara sukarela sebelum turun ke kaunter imigresen di KLIA.
Sebelum ini, rakyat Malaysia boleh menyemak secara dalam talian status kawalan imigresen mereka di portal rasmi Jabatan Imigresen iaitu http://sspi2.imi.gov.my sebelum mereka berangkat ke luar negara.“Peranti itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen disebabkan pelbagai faktor seperti sekatan akibat kegagalan segelintir penumpang membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Jika penumpang menghadapi masalah dengan agensi seperti LHDN, mereka boleh menguruskan isu tersebut dengan pegawai lembaga itu sebelum berlepas ke luar negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sebelum program Ruang Bicara siaran Bernama News Channel malam tadi.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan membuka kaunter pemudah cara bagi menyelesaikan isu sekatan ke luar negara di lapangan terbang kendaliannya.
Menurut Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali, usaha itu melibatkan kerjasama Jabatan Imigresen, LHDN dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta agensi berkaitan.
Menyentuh hal lain, Mustafar berkata sistem pagar automatik di KLIA akan melalui proses penambahbaikan dengan teknik pengenalan retina yang sedang dalam perancangan Jabatan Imigresen.
 
Copyright © 2014 PenangKini.