BREAKING NEWS

Wednesday, 20 September 2017

Jangan asyik salahkan cuaca setiap kali banjir - Zainal Abidin


GEORGE TOWN: Kerajaan negeri pimpinan DAP tidak boleh menyalahkan cuaca setiap kali berlaku banjir, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu sedar semakin banyak kawasan baharu yang dahulunya tidak pernah dilanda banjir, namun kini kerap ditenggelami air setiap kali berlaku hujan lebat.

Katanya mengikut laporan media, sebanyak 23 kejadian banjir kilat berlaku di seluruh Pulau Pinang bagi tempoh 2015 hingga September ini.

"Saya berpendapat bencana ada kaitan dengan pembangunan hartanah, penarahan kawasan bukit dan lereng bukit yang tidak terkawal serta penambakan laut.
"Dulu pun berlaku banjir kilat, tapi sekarang banjir kilat lebih kerap berlaku. Kini setiap kali awan hitam di langit, rakyat Pulau Pinang menjadi gusar dan khuatir banjir kilat akan berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyambut baik saranan kerajaan negeri agar kerajaan pusat bekerjasama dalam menyelesaikan masalah banjir di negeri ini khusus di Lembangan Sungai Pinang.

Katanya kerajaan pusat tidak pernah menghentikan peruntukan untuk projek kawalan dan rancangan tebatan banjir (RTB) di Pulau Pinang.

Beliau kerajaan persekutuan membelanjakan RM2 bilion untuk projek kawalan banjir di Pulau Pinang menerusi Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 sebanyak RM1.493 bilion termasuk RM34 juta untuk pembersihan dan rawatan air Sungai Pinang, manakala peruntukan RM404.5 juta menerusi RMK-11.

"Peruntukan RM150 juta untuk Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pinang juga diluluskan pada November 2016 dan saya nak tanya berapakah jumlah wang yang dibelanjakan kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengatasi masalah banjir sejak DAP memerintah pada 2008," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri memerlukan Pelan Induk Pencegahan Banjir lebih daripada Pelan Induk Pengangkutan kerana tidak berguna jika mereka membina jaringan jalan raya dan kemudahan pengangkutan darat jika jalan dan kenderaan sering tenggelam dalam banjir bila hujan lebat.

"Jika mereka (kerajaan negeri) sanggup dan boleh berhabisan RM305 juta untuk hanya laksana kajian-kajian untuk projek yang tidak diperlukan rakyat, kenapa mereka tidak boleh belanjakan jumlah yang sama untuk selesaikan masalah banjir," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.