BREAKING NEWS

Thursday, 7 September 2017

Kebimbangan mampu bentuk benteng politik UMNO Kedah - Shaiful

Faktor kebimbangan mampu membentuk benteng politik UMNO yang lebih kukuh di negeri Kedah.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata parti tidak seharusnya berada di zon selesa kerana ia mampu mengundang keputusan pilihan raya yang tidak dijangka.

"Jentera parti perlu diperkuat selain kehendak rakyat perlu dipenuhi secara maksimum dan sehabis baik.

"Pemuda UMNO Kedah yakin persiapan rapi dan kerja kuat yang berlipat ganda adalah senjata paling ampuh bagi mempertahan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Shaiful berkata demikian ketika mengulas keyakinan pembangkang bahawa Kedah akan jatuh ke tangan mereka pada PRU akan datang.

Dalam pada itu jelasnya, jentera parti tidak boleh mengambil ringan ramalan serta beberapa dapatan kajian bahawa Kedah akan jatuh ke tangan pembangkang.

"Kita mohon agar jentera parti melipat gandakan usaha menghadapi PRU yang akan datang. Kita juga mohon agar seluruh kepimpinan dan jentera parti tidak mengambil ringan hasil daripada kaji selidik pihak tertentu yang meramalkan kejatuhan BN pada PRU akan datang.

"Saranan ini lahir di atas dasar tidak mahu parti sentiasa dibuai di dalam zon selesa dan sentiasa fokus menggandakan persiapan bagi menghadapi PRU," ujarnya.

Namun begitu Shaiful melahirkan keyakinan BN negeri tidak akan tumbang begitu sahaja di atas sebab usaha dan pembaharuan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Inisiatif membantu isi rumah melalui bantuan Barakah, bantuan pendidikan dan inisiatif khas anak muda akan menjadi sebab utama rakyat negeri Kedah akan kembali memberi sokongan kepada BN pada PRU akan datang.

"Pemuda UMNO Kedah yakin gaya kepimpinan 'cara Kedah' yang diamalkan Ahmad Bashah semakin popular dan diterima rakyat.

"Hakikatnya rakyat Kedah amat selesa dengan kepimpinan 'cara Kedah' ini dan kembali serta terus memberi kepercayaan kepada BN," katanya.

Namun begitu tegas Shaiful, hasil kajian kekalahan BN itu tidak harus ditolak mentah-mentah.

"Kita perlu mencari asas dan sebab daripada hasil kajian ini. BN Kedah tidak harus berada di zon selesa dan pada masa yang sama sentiasa berada di dalam 'sindrom penafian'.

"BN Kedah perlu membuat tapisan lebih daripada satu 'lapisan' kerana kita tidak boleh lagi membuat kesilapan.

"Harus diingat, kelekaan dan merasakan diri berada di zon selesa telah membuat BN tumbang pada PRU ke-12 dan BN sama sekali tidak menyangka bahawa mereka akan tumbang di Kedah pada waktu itu," jelasnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.