BREAKING NEWS

Monday, 11 September 2017

Kemboja jadi mangsa keempat skuad B-19 negara


KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 tahun (B-19) negara terus cemerlang mengekalkan rekod bersih dalam Kejuaraan B-18 Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 selepas menundukkan Kemboja 2-0 di Stadium Thuwunna, hari ini.
Selepas meratah Laos 4-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A, disusuli membenam seteru seberang tambak, Singapura 3-1 dan mengekalkan konsistensi meraih kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste, anak buah Bojan Hodak terus 'berselera' menjadikan Kemboja sebagai mangsa keempat mereka pada aksi serantau itu.
Rekod bersih yang diraih itu sudah pasti memberi amaran kepada gergasi Asia Tenggara, Thailand betapa Malaysia bersedia untuk menundukkan lawan menjelang pertemuan dua pasukan itu di gelanggang sama, petang Selasa ini.
Malah, ia sudah pasti akan menjadi motivasi terbaik buat skuad muda negara untuk mengekalkan prestasi konsisten apabila bertemu skuad Gajah Perang itu selepas mengharungi empat aksi 'pemanas badan' setakat ini.
Dengan kelibat Thailand yang dilihat sebagai pencabar utama Malaysia di peringkat kumpulan, aksi itu boleh diibaratkan sebagai ujian sebenar buat anak buah Hodak dengan tiket selaku juara Kumpulan A menjadi pertaruhan.
Pada aksi terbabit, Hodak melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utama, namun pemain tidak berdepan masalah apabila tetap memperagakan aksi bertenaga dan hantaran pendek yang dilakukan kerap memerangkap pemain Kemboja.
Namun, Malaysia perlu menunggu sehingga minit ke-22 untuk memecah kebuntuan menerusi penyudah pemain tengah pasukan Piala Belia PKNS FC, Shafizi Iqmal Md Khiruddin yang juga adalah gol sulungnya pada kejohanan itu.
Babak kedua menyaksikan Malaysia terus mengasak kubu pertahanan Kemboja dan kegigihan mereka berbalas apabila pertahanannya, Syafiq Danial Romzi melebarkan jurang dengan gol kedua 10 minit selepas separuh masa kedua bersambung.
Selepas mengharungi empat perlawanan, Malaysia meraih 12 mata maksimum dan meledak 12 gol selain hanya dibolosi dua gol yang menyaksikan mereka berjaya 'menutup' pintu gol daripada dibolosi dalam dua perlawanan berturut-turut bertemu Timor Leste dan Kemboja.
 
Copyright © 2014 PenangKini.