BREAKING NEWS

Friday, 8 September 2017

Kerajaan Myanmar terus berdegil - DS Reezal Merican

KEPALA BATAS 7 Sept. – Kerajaan Myanmar dilihat sengaja tidak mengendahkan desakan banyak pihak agar krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine yang menyebabkan kematian ramai etnik Rohingya dihentikan.

Malah mereka juga seolah-olah membutakan mata untuk melakukan sesuatu tindakan bagi menyelesaikan jenayah kemanusiaan itu biarpun beberapa negara anggota ASEAN berulang-kali meminta perkara berkenaan diselesaikan secara aman.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, lebih dikesali, krisis terbaharu melibatkan masyarakat Islam Rohingya itu berlaku sebaik sahaja suruhanjaya bebas yang diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan mengeluarkan laporan berkaitan isu berkenaan kepada kerajaan Myanmar.

Menurutnya, laporan tersebut turut mengandungi syor-syor yang dibuat oleh Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian yang holistik bagi menangani krisis di Rakhine.

“Laporan oleh suruhanjaya itu mengiktiraf peranan Malaysia yang sentiasa komited mendesak agar kerajaan Myanmar segera menyelesaikan konflik tersebut secara aman.

“Wisma Putra juga mengeluarkan kenyataan rasmi pada 2 September lalu yang Malaysia tidak berpuas hati serta mengutuk keganasan yang berlaku ke atas masyarakat Rohingya selain pada masa sama, menasihatkan rakyat negara ini agar menangguhkan perjalanan ke Rakhine,” katanya.

Reezal Merican berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang ke-43 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN negeri, Datuk Ismail Umar.

Reezal Merican menambah, sebagai langkah ke depan, Malaysia mengakui isu keganasan dan kekejaman terhadap etnik Rohingya perlu dibawa ke forum antarabangsa yang lebih tinggi termasuk di PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Lebih penting, akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang perlu diberikan kepada mereka yang terjejas oleh pertembungan yang mengakibatkan kematian lebih 500 orang baru-baru ini,” ujarnya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.