BREAKING NEWS

Wednesday, 13 September 2017

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Digesa Henti zon semula tanah pertanian

TASEK GELUGOR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggesa kerajaan negeri supaya berhenti melakukan pengezonan semula tanah pertanian kepada status lain bagi memastikan industri asas tani dapat dikekalkan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, gesaan itu dibuat susulan rekod keluasan tanah pertanian di negara ini mencatatkan pengurangan, akibat pengezonan semula.

Selain itu, beliau berkata, keluasan tanah pertanian perlu dikekalkan bagi memastikan penawaran keperluan dan komoditi dapat diperhebat, sekali gus mampu melonjakkan pendapatan negara.

 "Semua pentadbiran kerajaan negeri di seluruh negara perlu fikir serta mengutamakan elemen sekuriti bekalan makanan kita dan jangan terlalu cepat mengalah dengan mengambil langkah pintas untuk menukarkan status tanah pertanian kepada pembangunan atau komersial.

 "Justeru, setiap negeri dinasihat supaya jangan terlalu memikirkan untuk mengaut keuntungan segera, berbanding mengusahakan tanah pertanian," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Gelombang Tani Nasional Negaraku 2017: Jom Pi Bendang peringkat Pulau Pinang di pekarangan Dewan Kelompok Padi Permatang Tiga di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Jahara Abd Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Pada majlis sama, Ahmad Shabery menyampaikan geran dan pinjaman bernilai lebih RM11 juta kepada 11 projek diusahakan masyarakat tani di negeri ini, selain menyempurnakan Majlis Konvokesyen Lepasan Sekolah Ladang Petani Siri 3/2017. -BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.