BREAKING NEWS

Tuesday, 19 September 2017

Kerajaan Pulau Pinang didesak segera selesaikan kes gondol bukit


GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa segera menyelesaikan kes penggondolan bukit secara haram di negeri ini bagi mengatasi kejadian banjir kilat.
Penasihat Citizen Awareness Chant Group (CHANT), Yan Lee, mendakwa kes penggondolan bukit semakin bertambah dari semasa ke semasa, kebanyakannya masih gagal ditangani dengan berkesan.
Beliau juga mendakwa, ada peningkatan 12 kes penggondolan bukit pada tahun ini, berbanding keseluruhan 49 kes pada tahun lalu.
"Semua kes masih belum diselesaikan oleh pihak berkuasa. Apa yang sudah dilakukan dengan laporan berkenaan? Apa perkembangan 49 kes terbabit?
"Adakah kerajaan negeri menggunakan 'Penang Forum' sebagai 'wayang' semata-mata? Tiada perubahan sehingga kini," katanya 
Jumaat lalu, beberapa kawasan sekitar bandar raya ini dinaiki air antara 0.2 hingga 0.3 meter, ekoran hujan lebat dengan kapasiti 270 milimeter sejak tengah malam Khamis sebelum itu.
Antara kawasan terjejas adalah Jalan Masjid Negeri, Jalan P Ramlee, Jalan Perak, Jalan Batu Ferringhi dan sekitar Bayan Lepas.
Angin kencang pula mengakibatkan pokok tumbang di Paya Terubong, menyebabkan kawasan itu mengalami kesesakan trafik yang teruk.
Selain itu, kejadian tanah runtuh turut dilapor di beberapa kawasan.
Yan Lee menggesa kerajaan negeri menjalankan kajian ke atas semua kawasan cerun dan lereng bukit di negeri ini, khususnya selepas hujan lebat bagi memastikan tahap keselamatan lokasi terbabit.
Katanya, ia wajar dilakukan kerana terlalu banyak kejadian tanah runtuh membabitkan kawasan cerun dan lereng bukit di negeri ini, setiap kali hujan lebat.
"Kajian itu perlu bagi memastikan impak dan kebarangkalian berulang bencana demikian dapat dikurangkan.
"Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengarahkan pasukan pembangunan lereng bukit untuk menilai keadaan semasa kawasan berkenaan selepas hujan.
"Hasilnya perlu didedahkan bagi memberi gambaran jelas kepada orang ramai. Ini kerana rakyat negeri ini 'dihantui' kejadian tanah runtuh, selain khuatir dengan keadaan cerun dan lereng bukit setiap kali hujan lebat," katanya.
BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.