BREAKING NEWS

Tuesday, 19 September 2017

KWSP perlu patuhi SOP ketat sebelum labur

18 SEPT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat sebelum dibenarkan melabur di luar negara berikutan statusnya sebagai pemegang amanah dana persaraan terulung di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata KWSP bertanggungjawab memastikan setiap pelaburan yang dibuat adalah sepadan dan setimpal dengan pelan perniagaan yang akhirnya akan memberi faedah kepada pencarum dalam bentuk dividen.
“KWSP dan Khazanah Nasional Bhd telah lama melabur di luar negara, bukan sekadar di Amerika Syarikat sahaja kerana ia merupakan sebahagian daripada strategi korporat mereka untuk memastikan portfolio pelaburan dapat diimbangi,” katanya selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit di Kampung Kelonchor hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas kritikan pembangkang berhubung pelaburan Khazanah Nasional dan KWSP di Amerika Syarikat baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan kerja ke Amerika Syarikat baru-baru ini mengumumkan mengenai rancangan KWSP dan Khazanah Nasional untuk meningkatkan pelaburan mereka di negara itu dan keputusan Malaysia Airlines Bhd untuk membeli 16 pesawat Boeing dalam masa terdekat.
Sehingga kini, KWSP telah melabur hampir US$ 7 bilion dari segi ekuiti di Amerika Syarikat, manakala Khazanah Nasional, yang mempunyai pejabat di Silicon Valley, California, telah melabur kira-kira US$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi.
Othman berkata, kedua-dua agensi itu perlu bijak mencari pelbagai jenis pelaburan meliputi pelaburan tempatan, ASEAN dan antarabangsa yang bukan sahaja meliputi pembelian saham malah melalui penyertaan dalam projek-projek mega dan pembelian bon.
Sehubungan itu, beliau menegaskan dakwaan sesetengah pihak kononnya lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat sebelum ini sebagai satu daripada usaha untuk membantu negara itu, adalah tidak berasas sama sekali.
“Kita siapa nak bantu Amerika Syarikat, takkan nak bantu dengan RM100 bilion sedangkan ekonomi Amerika mencecah trilion (dollar)… apa yang penting ialah kita ambil peluang pelaburan yang boleh memberi pulangan setimpal.
“Secara purata contohnya kalau pulangan tempatan (KWSP) dalam tiga hingga empat peratus, dan kemudian ditambah pula dengan pulangan di luar negara dalam 11 peratus… jumlah inilah yang akan diberi semula kepada pencarum dalam bentuk dividen tahunan,” katanya.
Diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya lawatan Najib ke Amerika untuk memenuhi siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan 1Malaysia Development Berhad, Othman berkata ia adalah sebahagian persepsi yang ditimbulkan oleh pihak yang ‘cemburu’ dengan pertemuan di antara Najib dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Dulu mereka kata Najib takut jejak kaki ke Amerika Syarikat sebab dikhuatiri tak akan balik (ke Malaysia). Sekarang ini bila beliau (Najib) dapat undangan daripada Presiden Donald Trump sendiri, mereka cemburu pulak,” katanya.
Beliau berkata mana mungkin Malaysia dan Amerika Syarikat dapat dipisahkan dari segi hubungan keselamatan, pelaburan dan ekonomi memandangkan kedua-dua negara sudah menjadi rakan dagang strategik sejak berpuluh tahun yang lalu.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Othman berkata Malaysia akan cuba sedaya upaya menarik seramai boleh pelabur asing ke negara ini dan pada masa sama turut meluaskan lagi pelaburan di luar negara untuk manfaat negara dan rakyat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.