BREAKING NEWS

Friday, 8 September 2017

Mahasiswa perlu tertib suarakan pendapat, kata Zahid


Timbalan perdana menteri menasihatkan wakil mahasiswa berhati-hati membentangkan pendapat kerana keputusan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan memberi kesan kepada generasi seterusnya.

zahid-mahasiswaPUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa meraikan dan mendengar pendapat berlainan dilontarkan mahasiswa.
“Dalam setiap perbezaan pendapat itulah kita perlu mencari intipati yang boleh diketengah kepenggunaannya. Bagaimanapun dalam meraikan perbezaan pendapat, haruslah ada ketertiban,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, mesyuarat MPPK itu merupakan platform kepada kepimpinan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) menyuarakan isu, cadangan dan pandangan dalam menambah baik dasar kerajaan.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin mewakili mahasiswa di IPT agar berhati-hati membentangkan pendapat dan resolusi kerana keputusan dibuat dalam mesyuarat MPPK akan turut memberi kesan kepada generasi seterusnya.

Menurut Zahid, antara tindakan susulan diambil kerajaan hasil mesyuarat MPPK terdahulu termasuk penekanan terhadap aspek kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa demi pembentukan sebuah komuniti bersifat penyayang melalui Program Gap Year.

Program Gap Year yang bermula tahun ini dilaksanakan dalam tempoh setahun bagi pelajar membuat cerminan dan penerokaan diri menerusi program kesukarelawanan, keusahawanan dan bersukan.

Zahid berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengambil maklum hasrat MPPK memberi pandangan berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada perniagaan dalam talian, isu ekonomi khususnya melibatkan perjanjian perdagangan antarabangsa dan kerjasama ekonomi dengan negara kuasa besar dalam ekonomi dunia.
Katanya, MITI akan mengundang MPPK dalam program berkaitan pada masa depan.

Mengenai cadangan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) memberi diskaun lebih meluas, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil langkah menambah kalangan rakan dagang dalam sektor lebih relevan dengan keperluan mahasiswa.
Sehingga kini, terdapat 271 rakan dagang KADS1M melibatkan 444 cawangan di seluruh Malaysia.
Zahid turut memaklumkan mesyuarat itu yang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih mengekalkan kadar pinjamannya supaya kadar hutang PTPTN tidak meningkat berdasarkan kadar pinjaman dan kelayakan ditetapkan.

Pada mesyuarat kali ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, 4 kertas kerja dibentangkan wakil mahasiswa.

Kertas itu ialah “Pengukuhan Konsep Tabayyun Mengelakkan Ancaman Media Sosial” oleh MPP Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Mohamed Yusoff Warsa Mohamed Abdullah, “Inisiatif Sistem Rangkaian Pengangkutan Awam” oleh MPP Universiti Malaysia Terengganu, Nurul Farhana Ismail, “Victory Volunteer” oleh MPP Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Fifiyana Asmida Abdul Samat dan “Sains dan Teknologi: Pemangkin Ekonomi di Malaysia” oleh Majlis Pelajar Malaysia Australia, University of Adelaide, Arthur Yeow Eng Lip.
 
Copyright © 2014 PenangKini.