BREAKING NEWS

Wednesday, 20 September 2017

Mahathir pencetus perpecahan Melayu dan UMNO, kata PAS


19 SEPT: Perang tuduh menuduh terus berlaku apabila PAS melabelkan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang banyak memecahbelah orang Melayu termasuk UMNO sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, menjelaskan bahawa pentadbiran Dr Mahathir sepanjang 22 tahun itu menyebabkan orang Melayu berpecah disebabkan sanggup melakukan apa sahaja untuk berebut kuasa.
“Tiga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO terpelanting. Paku dulang, paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu merujuk kepada pengharaman UMNO pada 1987 sehingga menyaksikan penubuhan Semangat 46 serta pemecatan tiga timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam Dr Mahathir melalui catatan blognya mendakwa PAS memecah-belahkan orang Melayu.
Sementara itu, Idris turut mempersoalkan tahap kesedaran Dr Mahathir yang hanya timbul selepas tersingkir.
“Tidak ada siapa berani sanggah fakta Tun, kerana dia berkuasa penuh.
“Siapa lawan siap. Sekarang apabila tidak ada kuasa baharu Tun sedar,” katanya lagi.
 
Copyright © 2014 PenangKini.