BREAKING NEWS

Monday, 18 September 2017

Malaysia boleh jadi negara pengeksport kapital, kata Najib

Malaysia kini dipandang tinggi dunia sejak pembentukannya 54 tahun lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Malaysia yang dahulunya belum dikenali di peta dunia, kini dilihat sebagai negara berjaya dan diakui pemimpin dunia.
“Bila kita menyambut Hari Malaysia ini, kita boleh melihat bagaimana sebagai sebuah negara 54 tahun dahulu.

“Siapa kenal Malaysia (dahulu)? (Sebuah) negara pertanian, bilangan penduduknya tidak besar. Tetapi hari ini, kita merupakan sebuah negara yang berjaya.
“Sambutan dan penghormatan yang diberikan kepada saya oleh pemimpin-pemimpin dunia, termasuk yang terkini oleh presiden Amerika Syarikat (AS) sendiri (Donald Trump), kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan, malam ini.

Menurut Najib, sebagai negara berdaulat, Malaysia kini mampu menjadi negara pengeksport kapital.
“Sebab itu, bila saya berdepan presiden AS, saya membawa apa yang saya anggap sebagai ‘value proposition’, misalnya saya kata kita nak beli pesawat Boeing daripada AS, termasuk 8 Dreamliner (Boeing 787-9 Dreamliners), bukan semata-mata untuk memberi keuntungan kepada AS yang dipusingkan pembangkang, tetapi agar syarikat Penerbangan Malaysia mempunyai pesawat paling canggih di dunia,” katanya.

Najib menjelaskan langkah itu bukan sahaja untuk menggantikan pesawat lama dan kerap rosak, tetapi juga bagi menempatkan negara di kedudukan teratas dalam industri penerbangan, setanding syarikat penerbangan maju di dunia.

“Takkanlah MAS nak ketinggalan dalam hal ini. Kita nak berada di barisan hadapan supaya kita boleh bawa lebih banyak lagi pelancong ke Malaysia, termasuk ke Sabah.
“Kita nak orang datang lagi ke Sabah sebab Sabah ini indah, Sabah ini sangat menarik, Sabah ini amat berpotensi,” katanya.

Najib turut menjelaskan pelaburan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) di AS yang dipersoalkan pembangkang.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan KWSP meningkatkan keuntungan, sekali gus meningkatkan pengagihan dividen kepada pencarum.

“Jadi, tak payahlah kita nak dengar pembangkang ini. Bila saya kata KWSP nak melabur di AS, mereka (pembangkang) kata apa guna kita melabur d AS, patut labur dalam negara.
“Mereka (pembangkang) ini dangkal, bukan cerdik sangat,” katanya.
Menurut Najib, KWSP mempunyai dana RM760 bilion yang boleh dilaburkan bukan sahaja di AS, malah di 39 negara lain.

“Keputusan ini bukan dibuat oleh orang politik, tetapi jawatankuasa pelaburan yang buat.
“Sebab itulah hari ini KWSP boleh beri dividen yang amat memuaskan kepada pekerja (pencarum) Malaysia,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.