BREAKING NEWS

Sunday, 10 September 2017

Malaysia sedia terima pelarian Rohingya - Nur Jazlan:

Malaysia bersedia menerima lebih ramai pelarian Rohingya ke dalam negara susulan keadaan yang semakin meruncing di Myanmar, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Bagaimanapun, beliau pada masa sama, turut menyuarakan kebimbangan kerana dikhuatiri pelarian yang memasuki ke negara adalah di kalangan pemberontak.
Setakat ini, sebanyak 56,000 kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) telah diedarkan kepada pelarian Rohingya yang memberikan kebebasan untuk mereka tinggal di negara ini.
“Kita juga kena berhati-hati walaupun kita akan menerima mana-mana pelarian Rohingya atas dasar perikemanusiaan tetapi daripada jumlah itu, ia memberikan kebimbangan kepada kita kerana mungkin ada di kalangan pelarian itu yang bersimpati dengan pemberontak yang aktif di negara mereka.

“Kejadian di kubur Wang Kelian pada tahun 2015, memang boleh katakan sering kapal-kapal dari Myanmar yang terkandas dan mendarat di pantai Malaysia tetapi selepas tahun 2015 tidak ada,” kata beliau yang ditemui selepas majlis pelancaran Mini Karnival #kitapulai, di sini, hari ini.
“Jadi kita menjangka mungkin ada (pelarian) juga selepas ini kerana keadaan yang berlaku di Myanmar terhadap etnik Rohingya,” tambahnya lagi.
Justeru, Nur Jazlan berkata Kementerian Dalam Negeri bersama UNHCR sedang menjalankan program mengesan pelarian bagi mengetahui jumlah yang telah memasuki negara.
Selain itu, ia bertujuan untuk mendaftarkan mereka dengan pengenalan digital dan memastikan mereka merupakan pelarian yang sebenar, bukan di kalangan pemberontak atau migran ekonomi.
“Kerajaan sedang jalankan program kesan pelarian yang boleh kita ketahui jumlah mereka serta sama ada mereka benar-benar pelarian Rohingya kerana terdapat mungkin juga antara mereka yang mendaftar dengan UNHCR adalah migran ekonomi tetapi berselindung di sebalik status pelarian,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.