BREAKING NEWS

Thursday, 7 September 2017

Mufti WP tak anggap salah tayang gambar sembelih, dengan syarat

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri tidak melihat suatu kesalahan untuk menayangkan gambar dan video penyembelihan binatang korban, asalkan ia berniat untuk meninggikan syiar Islam.
“Namun tindakan itu mestilah berlandaskan dawabit (garis panduan) yang khusus,” kata Zulkifli dalam kirimannya di Facebook.
Beliau mengulas penjelasan di laman fatwa Jabatan Mufti WP, yang antara lain berkata gambar dan video penyembelihan mestilah bertujuan baik di samping menunjukkan proses penyembelihan menonjolkan akhlak dan adab Islam dalam menyembelih.
Menurut Jabatan Mufti WP, muat naik hendaklah mengelak daripada unsur provokasi dan fitnah yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan menjadi tohmahan memburukkan imej Islam.
“Sebagai contoh, sengaja mencetuskan kenyataan atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina golongan bukan Islam atau komuniti yang memperjuangkan hak binatang, memijak kepala binatang sembelihan dan sebagainya,” katanya.

Penjelasan Zulkifli selepas gambar umat Islam “menayang” upacara penyembelihan binatang sempena Aidiladha di media sosial menerima kritikan pengguna Facebook.
Isnin lalu, seorang pengguna Facebook, Mujahidin Zulkiffli berkata perbuatan memuat naik gambar binatang disembelih adalah tindakan menunjuk-nunjuk dan tidak berasas dalam Islam.
“Adakah ini menunjukkan nilai Islam?” soalnya yang turut menyertakan sekeping gambar menunjukkan beberapa kepala lembu disusun atas tanah, dengan kira-kira 20 orang yang tersenyum berdiri di belakangnya.
Bagaimanapun, lokasi dan masa gambar itu diambil tidak diketahui.
 
Copyright © 2014 PenangKini.