BREAKING NEWS

Sunday, 10 September 2017

Mukhriz Cuba Racun Ahli, Penyokong PAS

Mengikut jejak bapanya menyerang PAS secara konsisten, nampaknya Dato’ Seri Mukhriz Mahathir cuba cari gaduh dengan parti yang mengetuai Gagasan Sejahtera itu dalam satu program politiknya baru-baru ini.
Dalam satu ceramah politiknya di Dun Ayer Hitam, dia menagih simpati dari ahli dan penyokong PAS untuk menyokong Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti walaupun kepimpinan PAS kini ‘berperang’ dengan gabungan parti yang dikuasai DAP itu.
Seperti DAP, dia menjadikan modal ‘kepimpinan PAS mesra UMNO’ sebagai alasan untuk memancing ahli dan penyokong PAS memberi sokongan pada Pakatan Harapan. Gagal memujuk pemimpin, dia cuba ‘racun’ ahli dan penyokong PAS?
Pertamanya, penulis sebenarnya agak terkejut mendengar dia membuat program politik di Dun Ayer Hitam, kawasannya sendiri. Dia tidak yakin dengan sokongan di kawasan sendiri? Di tempat sendiri pun dia sangsi dan perlu berkempen hingga begitu sekali?
Maka mungkinlah benar khabar-khabar rungutan dari majoriti ahli dan penyokong UMNO Jerlun sebelum ini yang mendakwa Mukhriz ‘tidak jaga kawasan’nya sepanjang 3 tahun menjadi Menteri Besar di Kedah. Selepas ‘jatuhkan diri sendiri’, barulah dia ‘rajin’ turun padang?
Kedua, kenapa dia takut sangat jika pemimpin PAS ‘mesra’ dengan UMNO? Apakah salah dan berdosa? Lagipun, UMNO mahupun PAS sudah menjelaskan bahawa tidak ada sebarang kerjasama politik antara kedua pihak, bukan?
Kerjasama yang dikatakan ‘mesra’ antara PAS dan UMNO itu lebih menjurus kepada jalinan persaudaraan sesama saudara seagama yang bersatu hati bagi isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan negara. Salahkah? Di mana dosanya?
Ketiga, nampaknya Mukhriz seolah-olah menyamakan tahap pemikiran dan semangat juang ahli serta penyokong PAS sama seperti Ahli Parlimen Pokok Sena yang sangat ‘intim’ dengannya sejak dia mengkhianati perjuangan anak bangsa.
Mukhriz mungkin tidak mengenali ahli dan penyokong PAS yang tulen dan hanya kenal mereka yang layak dilabel sebagai ‘harum manis’. Mungkin dia hanya merujuk kepada Ahli Parlimen Pokok Sena sahaja untuk mengenali corak politik akar umbi PAS?
Timbalan parti ‘bunga raya’ itu tahu apa erti istilah wala’? Dia tahu tentang ungkapan ‘samiiqna wa athoqna’? Dia pernah tahu tentang fiqh mentaati pemimpin? Atau dia hanya tahu mengejar kuasa politik seperti bapanya sahaja?
Penulis yakin bahawa ‘racun’ Mukhriz itu tidak akan lut pada ahli dan penyokong PAS yang tulen. Namun bagi ahli dan penyokong PAS yang memiliki IQ seperti Ahli Parlimen Pokok Sena, mungkin ‘racun’nya itu akan sedikit sebanyak memberi kesan.
Cuma penulis teringatkan cerita rakan-rakan yang membantu jentera Mukhriz ketika dia pertama kali bertanding di Kedah dahulu bagi merebut kerusi Parlimen Jerlun. Khabarnya, merayu-rayu jugalah bapanya kepada ‘tok-tok ayah PAS’ di sana, benarkah begitu?
Begitulah dia ‘anak bapa’. Bagai kata pepatah, ‘bapa borek, anak rintik’. Jika bapanya mengejar kuasa politik hingga ke hujung nyawa, nampak seperti anaknya cuba menjejak langkah yang agak serupa. Harap orang PAS kini kenal perangai sebenar anak Mahathir itu…
 
Copyright © 2014 PenangKini.