BREAKING NEWS

Tuesday, 26 September 2017

Najib: Bumiputera perlu lepasi dimensi DEB

KUALA LUMPUR: Perdana Menter Datuk Seri Najib Razak mahu Bumiputera lepasi dimensi Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970-an sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mengangkat keluar kaum itu daripada kepompong kemiskinan.
Beliau merujuk kepada matlamat asal DEB pada 1970 dan 1971 yang memberi fokus kepada aspek membasmi kemiskinan dan penyertaan ekuiti Bumiputera sebanyak 30%.
“Kita telah buat banyak perubahan kepada matlamat DEB yang asalnya kita mulakan pada 1970 dan 1971 di mana dasar tersebut menekankan 2 matlamat utama iaitu membasmi kemiskinan tidak kira kaum dan penyertaan ekuiti Bumiputera ke tahap 30% dalam bidang korporat,” katanya.
Sebaliknya Najib melalui Transformasi Nasional yang diumumkan pada 2013 mahu potensi Bumiputera dibangunkan dengan lebih luas dan dalam dimensi yang lebih bermakna, melalui pelbagai bentuk mekanisme tetap dan bukan tetap.

“Sudah sampai masanya pencapaian Bumiputera ini keluar daripada kemiskinan dan berdikari dengan pengagihan ekuiti oleh kerajaan menerusi Agenda Pemerkasaan Bumiputera G20.
“Kita mahu Bumiputera terutama dalam kalangan usahawan baharu dapat membangunkan modal insan dan ‘intellectual capital’ dengan mengukuhkan syarikat masing-masing,” kata Najib ketika berucap pada majlis penghargaan Agenda Pemerkasaan Bumiputera (G20) hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.
“Setiap GLC mesti melaksanakan program agenda Bumiputra masing-masing, ibarat kertas bahasa kebangsaan atau Bahasa Melayu peringkat SPM, jika dalam SPM kalau lulus semua mata pelajaran lain tetapi tidak lulus BM ibarat gagal SPM.
“Jadi maknanya KPI yang terbaik tertakluk juga kepada KPI pemerkasaan agenda Bumiputra. Kalau nak lulus, kertas projek ini merupakan KPI yang mesti dinaikkan oleh semua GLC. Inilah komitmen kita yang amat jelas, jadi tiada sesiapa yang harus mempertikaikan komitmen ini,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.