BREAKING NEWS

Thursday, 28 September 2017

Nelayan terjejas jika kerajaan luluskan tambak laut


Kenyataan Ketua Menteri  Pulau Pinang Lim Guan Eng yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak mahu meluluskan projek tambakan laut adalah mengelirukan rakyat.
Menurut Senator Dewan Negara Datuk Fahariyah Md Nordin, rakyat khususnya di Pulau Pinang perlu tahu bahawa jika kerajaan meluluskan projek tersebut, ia akan mengakibatkan periuk nasi 1,800 orang nelayan terjejas teruk berikutan kesan projek tambakan laut.
“Rakyat perlu segera sedar dan berhati-hati dengan kenyataan mengelirukan seperti ini dari kem pembangkang yang kini sedang berusaha keras merosakkan minda rakyat bagi meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang sudah semakin hampir.
“Kenyataan kolot itu seolah-olah kerajaan persekutuan sengaja tidak mahu meluluskan projek tambak laut di negeri itu sekaligus mengganggu pelaksanaan pelan induk pengangkutan negeri itu yang turut melibatkan pembangunan laluan transit aliran ringan (LRT).
“Bagi saya, rakyat khususnya di Pulau Pinang harus sedar mengapa Kerajaan Persekutuan sehingga kini masih tidak memberi kelulusan terhadap projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas respon Guan Eng bahawa satu-satunya cara untuk menjadikan projek tambakan laut menjadi kenyataan ialah menukar perdana menteri, kemudian baru Pulau Pinang boleh mendapat kebenaran membina LRT.
Guan Eng berkara demikian pada majlis makan malam Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Bayan Baru baru-baru ini.
Untuk rekod, projek yang akan mewujudkan kawasan tambahan seluas 4,500 ekar melalui tiga pulau di laut mengadap Permatang Damar Laut dan Teluk Kumbar itu dibimbangi akan jejas mata pencarian 1,800  nelayan dan alam sekitar di situ.
Tambah Fahariyah, Kerajaan Persekutuan tidak pernah mempolitikkan agenda pembangunan negara dan demi kebaikan rakyat, malah ia jelas terbukti melalui projek pembinaan dan penambahbaikan LRT dan MRT termasuk di negeri Selangor yang diperintah oleh pembangkang.

“Oleh yang sedemikian, pastinya, kenyataan Guan Eng itu sebenarnya sangat tidak bertanggungjawab dan hanya bertujuan untuk memburukkan nama kerajaan pusat dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” ujarnya lagi.
 
Copyright © 2014 PenangKini.