BREAKING NEWS

Friday, 8 September 2017

Pakatan Harapan guna strategi Ali Baba - Datuk Seri Tengku Sariffuddin


KUALA LUMPUR: DAP ialah “parti dominan” dalam Pakatan Harapan (PH) dengan Lim Kit Siang sebagai pemimpin “de facto” yang bijak mengatur percaturan dan mencorakkan penampilan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.
Tengku Sariffuddin berkata ia menggunakan strategi Ali Baba dengan meletakkan pemimpin Melayu di barisan hadapan tetapi “power broker” sebenarnya berada di belakang tabir.
“Bagaimanapun, orang Melayu hari ini sudah mula menghidu taktik kotor ini kerana ia menghina kecerdasan mereka.

“Mengapa DAP dan Kit Siang bermain silap mata ini? Ini kerana pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Pakatan mula merosot, mereka memerlukan seorang tokoh Melayu yang baharu di barisan hadapan sebagai topeng,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata DAP dan Kit Siang tahu benar orang Melayu tidak akan menyokong mereka bulat-bulat.

Mereka tidak menaruh kepercayaan kepada pemimpin rakan-rakan dalam PH seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) atau Mohamad Sabu (Amanah), tetapi sebaliknya memilih untuk membentuk pakatan baharu dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan mengetahui sepenuhnya bekas perdana menteri itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 dan partinya hanya mempunyai satu kerusi di Parlimen, kata Tengku Sariffuddin.

Beliau berkata keputusan DAP untuk merestui Dr Mahathir memimpin PH adalah satu penghinaan kepada PKR dan Amanah.
“DAP dan Kit Siang mengambil keputusan ini berdasarkan pengala
man dan pengaruh Mahathir. Tetapi ini jelas hipokrit kerana parti-parti pembangkang melancarkan gerakan reformasi yang terang-terang menentang Mahathir,” katanya.

Tengku Sariffuddin berkata Kit Siang menggunakan musuh lamanya dan orang yang pernah menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan untuk menerajui cabaran DAP di kawasan yang menjadi kubu orang Melayu.
“Itulah sebabnya mengapa mereka membiarkan Mahathir bercakap mengenai dasar. Tujuan utama DAP ialah untuk menambat hati pengundi Melayu.

“Bagi Kit Siang secara peribadi, ikatannya dengan Mahathir bermaksud untuk memadamkan imejnya sebagai anti Melayu dan anti Islam. Tetapi apa yang Kit Siang gagal untuk memahami ialah orang Melayu boleh menghidu bahawa mereka diperalatkan oleh DAP,” kata beliau.
Katanya sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa mengundi PH sebenarnya ialah mengundi DAP, bukan PKR, Amanah atau PPBM.

“DAP adalah kuasa sebenar di belakang pembangkang. Bagaimanapun, DAP kini dalan keadaan panik kerana telah sedar bahawa orang Melayu menyedari apa yang sedang berlaku dan dalang sebenarnya ialah Kit Siang,” kata beliau.
 
Copyright © 2014 PenangKini.