BREAKING NEWS

Sunday, 24 September 2017

Pas Pulau pinang buat laporan polis isu banjir


PAS Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan dipimpin DAP berkaitan banjir yang berlaku baru-baru ini di negeri itu.

Pengerusi Biro Tanah PAS Pulau Pinang Yacoob Omar berkata mereka mahu polis menyiasat sama ada wujud unsur salah guna kuasa ketika kerajaan negeri meluluskan projek pembangunan.

Katanya, banjir kilat yang melanda negeri itu baru-baru ini adalah disebabkan pembangunan tidak terancang dan penggondolan bukit dan penebangan pokok, bukan hanya disebabkan cuaca buruk seperti didakwa kerajaan negeri.

“Kerana itu kita lihat kawasan yang tak banjir sebelum ini tetapi banjir sekarang…tempat macam Balik Pulau, Batu Feringgi, Teluk Bahang, Farlim.

“Saya dah duduk di kawasan Sungai Pinang sejak 50 tahun. Saya tahu banjir Pulau Pinang. Kita dapat banjir selalunya sekali atau dua setahun.

“Tetapi sekarang kita banjir 20 kali setahun. Kami dapat statistik ni daripada pihak berkaitan,” katanya tetapi tidak menamakan sumber itu.

Yacoob, bekas ahli Majlis Bandar Raya Pulau Pinang berkata kerajaan perlu meluluskan pembangunan setelah memastikan adanya infrastruktur perparitan yang sesuai dan mencukupi dibina di sesuatu tempat.

“Ini yang mereka buat di negara lain,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani hari ini.

Yacoob yang juga merupakan pengerusi PAS Bahagian Tanjong turut menuduh kerajaan negeri kurang serius menangani masalah banjir.

“Dia mungkin fikir perkara ni tak serius, tetapi cuba basuh rumah selepas setiap banjir. Hanya kerana air hujan tinggi, anda salahkan Taufan Doksuri,” katanya.

Minggu lepas, kerajaan negeri berkata Pulau Pinang mencatatkan jumlah air hujan sebanyak 270mm Jumaat lalu, rekod tertinggi di negeri itu. Pihak berkuasa mengatakan ia bersamaan dengan jumlah hujan sebulan dalam masa sehari.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tiada sistem perparitan boleh menampung jumlah air hujan sebanyak itu dalam tempoh beberapa jam sahaja. Beliau juga melawat kawasan dilanda banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang turun beberapa minggu lepas dan awal minggu ini.

Seorang lagi pemimpin PAS, Iszuree Ibrahim berkata laporan polis itu juga dibuat kerana keangkuhan kerajaan negeri.

“Mereka suka tuding jari kepada kerajaan Kelantan sedangkan mereka (Pulau Pinang) yang perlu jaga hal sendiri,” kata setiausaha PAS negeri itu.

Bekas ahli majlis itu juga mengkritik kerajaan negeri kerana terlepas pandang kegagalan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) menyalurkan RM22 juta sumbangan perparitan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) untuk projek mitigasi banjir.

“Bagi kerajaan yang cekap, bertanggungjawab dan telus, bagaimana ia boleh terlepas pandang,” katanya merujuk kepada prinsip pentadbiran yang ditawarkan kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

Isu sumbangan perparitan sebanyak RM22 juta itu ditimbulkan dalam Laporan Jabatan Audit Negara 2016 Siri 1. Ia kembali menjadi tumpuan pengkritik kerajaan negeri susulan banjir Jumaat lepas itu.

Dilaporkan yang kerajaan negeri sudah menjelaskan isu itu sebelum ini dan Pengerusi Jawatankuasa Mitigasi Banjir Negeri Chow Kon Yeow sudah mengarahkan MPSP menyerahkan dana itu kepada JPS bulan lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar PAS Pulau Pinang Saiful Lizan Mohd Yusof berkata parti itu juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin depan.

“Kami akan sediakan dokumen kepada SPRM yang menunjukkan beberapa dasar tidak dilaksanakan kerajaan negeri untuk tangani banjir,” katanya ringkas.

Chow tidak dapat dihubungi untuk maklum balas mengenai laporan polis ke atas kerajaan negeri. – 23 September, 2017.
 
Copyright © 2014 PenangKini.